Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:26pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan Teo Nie Ching bergambar dengan penderma di SMJK Kuching High, hari ini. - Foto BERNAMA

Pendaftaran persekolahan anak tanpa warganegara dipermudahkan

KUCHING: Anak tanpa warganegara layak mendapat pendidikan lebih baik apabila proses kemasukan mereka ke sekolah kerajaan akan dipermudahkan bermula Januari depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kementeriannya minggu lalu bagi memastikan setiap anak di negara ini mendapat pendidikan sempurna.

Beliau berkata, kesulitan sering berlaku bagi anak tanpa warganegara itu untuk mengikuti persekolahan berikutan kerenah birokrasi yang ketat.

“Kita berusaha memudahkan urusan kemasukan mereka ke sekolah dengan menetapkan syarat jika salah seorang ibu bapa mereka warga Malaysia, mereka boleh mendaftar untuk bersekolah dengan mengemukakan sijil kelahiran atau perintah mahkamah atau sijil pengangkutan bagi anak angkat.

“Kita akan menghantar surat ke Jabatan Pelajaran dalam masa terdekat mengenai keputusan itu agar dapat dimulakan pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Pagar Alumni di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kuching High, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei; Presiden Persatuan Ex-Highian Kuching, Pauline Gan Guet Beng dan Pengetua SMJK Kuching High, Tan Kiang Tuang.

Nie Ching berkata, difahamkan jumlah anak tanpa warganegara di negara ini mencecah ratusan ribu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua tahun lalu, lebih 300,000 anak tanpa warganegara berusia bawah 18 tahun di negara.

“Saya belum menerima statistik terbaru daripada Menteri Dalam Negeri terkini (Tan Sri Muhyiddin Yassin), tetapi percaya jumlahnya masih ramai,” katanya.

Sementara itu, mengenai permohonan kerajaan negeri Sarawak untuk mendapatkan peruntukkan berjumlah RM2.5 bilion bagi menangani masalah sekolah daif, Nie Ching berkata, beliau tidak mengetahui perkembangannya.

“Surat (permohonan) itu terus kepada Menteri (Dr Maszlee Malik). Setakat ini, saya tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya.

335 dibaca
Berita Harian X