Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:32pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali - Foto FAIZ ANUAR

Semua wakil rakyat PH akan isytihar aset kepada SPRM - Azmin

SHAH ALAM: Semua wakil rakyat Pakatan Harapan, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan mengisytiharkan aset mereka secara terbuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini amalan baharu dalam memastikan ketelusan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, Perdana Menteri amat tegas berkenaan dengan perkara itu dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan teragak-agak memecat serta merta dan mengheret mana-mana wakil rakyat yang melakukan kesalahan rasuah ke mahkamah.

“Isnin ini adalah hari terakhir untuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri, ahli parlimen, EXCO kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kemukakan pengisytiharan harta kepada SPRM.

“Ini belum pernah berlaku. Sebelum ini apa berlaku menteri melaporkan harta mereka kepada Perdana Menteri. Jadi kita tahu apa yang akan berlaku.

“Perdana Menteri (sebelum ini) akan menggunakan laporan itu untuk kepentingan dan mempengaruhi keadaan,” katanya.

Beliau berkata pada Bicara Minda Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Pakatan Harapan tidak bertolak ansur dengan salah laku pemimpinnya terutamanya membabitkan rasuah.

“Sekarang ini bawah kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri sendiri akan melaporkan kepada SPRM mengenai harta yang dimiliki oleh beliau dan keluarganya dan akan dimaklumkan kepada awam,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau sudah membuat pengisytiharan itu, Mohamed Azmin berkata, beliau kini berada di peringkat akhir proses berkenaan.

“Saya kini berada di peringkat akhir (proses) perisytiharan,” katanya.

539 dibaca
Berita Harian X