Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:29pm
MOHAMED Azmin (tengah) ditemubual oleh pengamal media ketika hadir dalam Bicara Minda bertajuk 'Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua' di Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Cukai baharu masih di peringkat perbincangan - Azmin

SHAH ALAM: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cukai baharu seperti dicadangkan kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk memastikan rakyat tidak dibebani, terutamanya kumpulan B40.

“Kita belum laksanakan cukai baharu. Ini adalah cadangan yang dikemukakan. Kita kena duduk dan berbincang mengenai perkara itu.

“Kita nak meningkatkan ekonomi negara dan menambah hasil. Kita juga akan mengenal pasti mekanisme terbaik dan paling inovatif untuk meningkatkan pendapatan negara.

“Namun, dalam masa yang sama kita tidak mahu bebankan rakyat terutamanya bagi golongan B40,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas Program Bicara Minda bertajuk Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan bercadang memperkenalkan cukai baharu bagi menjana hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi.

Beliau turut dilaporkan berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk melepaskan aset negara seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

288 dibaca
Berita Harian X