Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:25pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali - Foto BERNAMA

Azmin akur saranan SPRM, tidak dedah perkara babitkan pelaburan FELDA

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akur dengan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak mendedahkan beberapa perkara membabitkan pelaburan luar negara berkaitan FELDA.

Mohamed Azmin berkata, meskipun beliau mahu mendedahkan segala kecurangan pengurusan terdahulu membabitkan FELDA namun ada beberapa perkara masih dalam siasatan SPRM.

“Kalau ikutkan saya, ramai yang kita hantar ke dalam itu (penjara). Namun, kita sebuah kerajaan yang mematuhi ‘the rules of law’ (kedaulatan undang-undang). Ia ada prosesnya. Ikut hati memang kita geram dengan beberapa individu ini.

“Untuk mendakwa seseorang, Jabatan Peguam Negara perlu menyediakan kes itu dengan bukti-bukti yang kukuh sebelum pendakwaan dibuat.

“Dalam penyediaan kertas putih yang akan kita di bentangkan di Parlimen nanti kita sudah merujuk kepada SPRM akan bidang kuasa kementerian untuk mendedahkan kerakusan yang berlaku dalam FELDA.

“Namun, kita dinasihati SPRM untuk tidak memasukkan beberapa perkara dalam kertas putih kerana ia masih dalam siasatan. Beberapa isu membabitkan pelaburan di luar negara. Jadi sudah tentu maklumat tambahan diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton yang juga anak peneroka FELDA membabitkan urus tadbir agensi itu pada Program Bicara Minda bertajuk Ekomoni: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan dengan cuai supaya tiada ketirisan pada masa hadapan.

“Sementara menunggu mereka yang terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa diheret ke muka pengadilan kita harus berpegang kepada undang-undang dan ‘rule of law’ bagi memastikan pendakwaan itu cukup kuat untuk menghukum seseorang.

“Kalau kita cuai, tergopoh-gapah dan tergesa-gesa, akhirnya kes itu longgar. Kalau mahkamah membebaskan seseorang, maka itu satu tamparan kepada kerajaan kerana tidak begitu kemas dalam menyiasat sesuatu perkara.

“Beri masa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi siasatan itu. Apabila kertas pendakwaan siap, saya percaya perkara ini akan diangkat mengikut undang-undang dan proses yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kedudukan tunai FELDA lebih teruk daripada apa yang dinyatakan pengerusinya Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebelum ini yang mendakwa ia hampir kosong.

Mohamed Azmin berkata, beliau terkejut apabila mula-mula diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengetahui kecurangan yang berlaku dalam FELDA sehingga membebankan 120,000 peneroka di seluruh negara.

“Lihat saja saham Felda Global Ventures (FGV) sekarang merudum dari RM4.80 kepada hanya RM1.30. Pemimpin-pemimpin politik dah jual lama saham ini, yang sengsara ialah peneroka FELDA,” katanya.

369 dibaca
Berita Harian X