Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:31pm
LIM Kit Siang - Foto MIKAIL ONG

Pembantu Najib buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis hari ini, meminta polis memanggil Lim Kit Siang untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan beberapa kes pembunuhan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Sri Hartamas itu turut menyatakan jika siasatan mendapati Najib tidak bersalah, dia mahu nama majikannya dibersihkan dan meminta polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Dalam satu artikel yang disiarkan portal MalaysiaKini pada 8 Oktober lalu, Lim Kit Siang mahu siasatan semula dijalankan untuk kes pembunuhan Altantunya Shaaribuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed yang pernah dikaitkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) ke atas majikan saya.

“Memandangkan kes ini pernah disiasat secara mendalam dan lengkap dan sudah melalui proses kehakiman, saya sarankan pihak polis memanggil YB Lim Kit Siang untuk memberi maklumat dan keterangan tambahan ke atas kes terbabit,” katanya dalam laporan itu.

Najib sendiri berkongsi berita itu di laman Facebook (Fb) miliknya kira-kira jam 11 malam tadi.

“Seperti saya maklumkan semalam selepas Kit Siang berdolak-dalik selama seminggu, atas arahan saya, rakan sekerja saya membuat laporan polis terhadap saya supaya kes pembunuhan ini boleh disiasat semula.

Portal berita NSTP semalam melaporkan Najib meminta pembantunya untuk membuat laporan polis terhadap dirinya hari ini.

Najib dilaporkan berkata, tindakan itu bagi membolehkan satu penyiasatan polis di bawah kerajaan PH dijalankan membabitkan dakwaan beliau terbabit dalam kes pembunuhan beberapa individu termasuk model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dilihat gagal menggesa pihak berkuasa membuka semula kes terbabit.

4421 dibaca
Berita Harian X