Sabtu, 10 Jun 2017 | 2:32pm
MAHDZIR (dua dari kiri) bersalaman bersama penduduk yang hadir di Majlis Tadarrus Perdana Parlimen Padang Terap di Padang Kerasak, Naka. - Foto Sharul Hafiz Zam

6,700 sekolah terima internet 10 Mbps tahun depan


MAHDZIR (lima dari kiri) bersama penduduk setempat menyertai Majlis Tadarrus Perdana Parlimen Padang Terap di Padang Kerasak, Naka. - Foto Sharul Hafiz Zam

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan menyasarkan sebanyak 6,700 sekolah mempunyai capaian internet berkelajuan 10 megabait sesaat (Mbps) tahun depan, sekali gus memperkasakan kemahiran teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) terutama di luar bandar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya di peringkat kementerian menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pelaksana program 1BestariNet dalam memastikan capaian internet dipertingkatkan terutama di luar bandar.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu semua aspek diperkasakan demi kemajuan negara dan rakyat.

"Kita sasarkan pada tahun 2018 dengan 6,700 sekolah yang direkodkan mempunyai capaian 4 Mbps dipertingkatkan antara lapan ke 10 Mbps manakala sekolah yang belum ke tahap itu, ia perlu mempunyai capaian sekurang-kurangnya akses 4G.

"Malah, masih banyak sekolah di luar bandar semenanjung dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak masih menggunakan sistem VSAT (Very Small Aperture Terminal) dengan keupayaan capaian 1.3 hingga 1.4 Mbps," katanya.

93 dibaca
Berita Harian X