Selasa, 13 Jun 2017 | 11:37pm

PTPTN yakin sasaran kutipan RM4b dicapai


PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berucap pada majlis Iftar PTPN bersama media di Aloft Hotel. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin sasaran kutipan bayaran balik pinjaman RM4 bilion tahun ini dapat dicapai.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata keyakinan itu disandarkan kepada prestasi kutipan yang memberangsangkan untuk lima bulan tahun ini.

Katanya, hingga 31 Mei lalu, sebanyak RM1.3 bilion sudah dikutip perbadanan itu.

Justeru, katanya, PTPTN kini berada dalam landasan yang betul dan sasaran RM4 bilion itu tidak mustahil dicapai pada akhir tahun ini.

"Mengikut rekod, RM1.1 bilion dikutip dalam tempoh lima bulan tahun lalu dan jumlahnya meningkat kepada RM1.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun ini, ini menunjukkan prestasi yang positif dan kita optimis sasaran kita akan dapat dicapai," katanya selepas Iftar PTPTN dengan media di sini.

Shamsul Anuar berkata, peningkatan kutipan itu bukan hanya kerana penguatkuasaan PTPTN saja tetapi juga peningkatan kesedaran dalam kalangan peminjam.

Hingga kini ada 2.6 juta peminjam dengan nilai pinjaman RM46 bilion dan setiap tahun PTPTN menyediakan lebih 200,000 pinjaman untuk pelajar baharu.

Dalam perkembangan lain, katanya PTPTN kini giat mempromosikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dalam usaha meringankan beban ibu bapa untuk menanggung pembiayaan pengajian melalui tabungan awal.

Katanya, selaras dengan pengumuman kerajaan pada Bajet 2017, kerajaan sudah memberikan insentif geran sepadan secara percuma yang mana RM50 diberikan kepada pelajar tahun satu yang menyimpan dengan SSPN-i dan SSPN-I Plus.

"Bermakna setiap RM50 yang disimpan, kerajaan akan memberikan RM50, ..satu skim yang tidak pernah ditawarkan mana-mana institusi kewangan bagi peminjamnya.

"Dengan kata lain, setiap simpanan diberikan jaminan sepenuhnya oleh Kerajaan berpandukan sistem kewangan patuh syariah. Kita sasarkan deposit RM500 juta diberikan kepada pendeposit dengan 320,000 akaun baharu dibuka tahun ini," katanya.

Mengenai kempen #bolehbincang yang dilancarkan awal tahun ini, beliau berkata, menerusi kempen itu PTPTN menggalakkan peminjam membuat rundingan untuk bayaran balik pinjaman.

"Sejak diperkenalkan kita sudah mendapat banyak reaksi positif peminjam dan ramai yang tampil berunding dengan PTPTN. Kita juga ada membuka kaunter 24 jam di lapangan terbang bagi memudahkan urusan kepada peminjam yang disekat keluar negara berikutan gagal membayar balik pinjaman.

"Setakat ini mengikut rekod hanya 19 peratus daripada 2.6 juta peminjam yang disenarai hitam untuk keluar negara. Kita percaya jumlahnya akan berkurangan dengan adanya kempen dan gerakan kesedaran pembayaran balik melalui program #bolehbincang ini," katanya.

98 dibaca
Berita Harian X