Jumaat, 16 Jun 2017 | 9:15pm

Kes Nhaveen bukti buli boleh bertukar kejam, zalim


MENTERI Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (dua dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Abdullah Abdul Talib sambil disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) pada majlis Salam NegaraKu Kasih Ramadan di Masjid Kampung Tanjung Kiri, Kuala Nerang. - Foto Amran Hamid

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan mengakui ada kecenderungan untuk perbuatan buli bertukar menjadi kejam dan zalim, termasuk dalam kalangan pelajar di sekolah sekiranya ia gagal dibendung.

Justeru Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menggesa guru supaya peka dengan perkembangan semasa pelajar masing-masing untuk memudahkan mereka mengesan sebarang kecenderungan ke arah perlakuan buli.

"Nasihat saya kepada para guru di sekolah serta pegawai pendidikan di peringkat daerah dan negeri mestilah berada pada tahap yang paling maksimum dari segi mengesan dan mengetahui apa yang berlaku di bawah (sekolah).

"Kita simpati dengan keluarga (mangsa buli di Pulau Pinang) dan takziah diucapkan... apa yang lebih utama, kejadian itu nampak kejam dan sangat zalim.

"Jika itulah kecenderungannya, kita harap para guru, ibu-bapa dan masyarakat dapat bekerjasama untuk melihat dari sudut mana boleh dibantu anak-anak yang bermasalah seumpama ini, terutama kemurungan yang ada kecenderungan untuk perbuatan seperti itu," katanya ketika ditemui sempena Program Kasih Ramadan di Masjid Kampung Tanjung Kiri di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kes buli dan liwat ke atas seorang remaja berusia 19 tahun, T Nhaveen di Pulau Pinang, yang menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Mengulas kes itu, beliau berkata maklumat diterima mengesahkan mangsa adalah lepasan sekolah, begitu juga lima suspek yang ditahan, kecuali dua yang masih bersekolah.

"Kes sekarang berada dalam bidang kuasa pihak polis dan kita serahkan kepada pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan," katanya.

207 dibaca
Berita Harian X