Ahad, 16 Julai 2017 | 8:33pm

Pendidikan lonjak pembangunan negara


NAIB Canselor UKM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Rosela Ismail

BANGI: Sistem pendidikan di negara ini tidaklah seteruk seperti dakwaan sesetengah pihak dan ia terbukti apabila Malaysia mempunyai lima universiti dalam kelompok satu peratus teratas dunia hanya dalam tempoh 60 tahun merdeka. 

     Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata antara faktor utama yang menyumbang kejayaan Malaysia ialah pendidikan, justeru warganya perlu bersyukur kerana kerajaan membuat keputusan yang meletakkan pendidikan sebagai satu keutamaan dalam pembangunan negara.

    "Memang benar ada masalah dan cabaran baharu kerana ia sentiasa datang, tetapi faktanya kita ada sistem pendidikan yang baik di setiap peringkat, sila akui perkara ini. 

    "Wujud sekolah berdekatan, guru pun ramai dan ada sekolah yang kemudahannya canggih sehingga pernah satu ketika, delegasi dari negara ketiga bertanyakan kepada saya 'ini universiti atau sekolah?," katanya pada sidang media penarafan QS, di UKM, baru-baru ini. 

Prof Noor Azlan, berkata pada 1970 separuh warga negara ini miskin, namun dalam tempoh 50 tahun Malaysia sedang menghampiri status negara maju dan berpendapatan tinggi. 

     Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, kerajaan sudah mengurangkan kadar kemiskinan sehingga menjadi hanya 0.6 ke 0.7 peratus daripada 49 ke 50 peratus.

    "Jika kita jumpa orang dari negara Afrika, ada kawan saya ahli ekonomi juga, dia mahu tahu (formula) itu saja, tidak berminat ambil tahu mengenai (teknologi) nano, naik ke bulan dan sebagainya.

    "Dia tanya 'beritahu bagaimana kamu turunkan kadar kemiskinan dan itu sudah cukup bagus untuk saya' kerana itu dilihat sebagai satu kejayaan besar," katanya.

Kepentingan pendidikan tinggi

Mengulas lanjut Prof Noor Azlan, berkata sumbangan semula terhadap sektor pendidikan terutama pendidikan tinggi masih berada pada kadar sangat minimum. 

    Beliau berkata, jika dilihat di kebanyakan negara maju universitinya banyak dana kerana disumbang alumni, contohnya di Universiti Harvard, endowmennya saja RM132 bilion (US$40 bilion) bersamaan lebih kurang Rancangan Malaysia untuk lima tahun, namun di sana hanya untuk satu institusi.

    "Di negara maju masyarakatnya melihat universiti sebagai satu platform penting untuk menjamin kelangsungan pembangunan negara.

    "Kita adalah negara membangun yang menuju ke arah negara maju dan dalam konteks ekonomi, semua evolusi begini bermula dengan kerajaan mengambil tanggungjawab sepenuhnya, malah kerajaan kita memang menjayakannya. 

   "Justeru, suka saya mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk membiayai pendidikan bukan sahaja terletak di atas bahu kerajaan, kerana kita ada peranan masing-masing dan saya yakin pada masa akan datang masyarakat akan menyumbang kepada pendidikan kerana sedar akan kepentingannya," katanya.

166 dibaca
Berita Harian X