Ahad, 16 Julai 2017 | 9:48pm

Persijilan akademik untuk pelajar ikuti Penilaian APEL


KETUA Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mempertimbangkan penganugerahan sijil akademik untuk pelajar yang mengikuti penilaian Program Akredirasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata perkara itu masih dalam peringkat kajian pihaknya bagi membolehkan seseorang dianugerahkan Sijil , Diploma dan sebagainya berdasarkan penilaian pengalaman dan pengetahuan terdahulunya.

Katanya, buat masa ini, MQA di peringkat awal pelaksanaan APEL bagi tujuan pindah kredit dinamakan APEL(C) yang mana pengalaman dan pengetahuan terdahulu boleh digunakan untuk mendapat pindah kredit mata pelajaran ke dalam program akademik.

"Ketika ini hanya empat institusi pendidikan tinggi (IPT) saja yang mendapat kelulusan untuk laksana APEL(C), justeru MQA sedang mempromosi pelaksanaan APEL(C) ke IPT dan berharap jumlah institusi yang mendapat kelulusan bagi melaksanakan APEL(C) bertambah di masa akan datang.

"Apabila pelaksanaan APEL(C) sudah mantap, MQA akan mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan penilaian APEL untuk tujuan penganugerahan sijil akademik," katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Proses sistematik

APEL adalah proses sistematik yang membabitkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu yang terbahagi kepada dua jenis iaitu APEL bagi Tujuan Akses [(APEL (A)] dan APEL bagi Tujuan Penganugerahan Kredit [APEL (C)] .

APEL(A) memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di IPT dan secara umumnya, penilaian APEL(A) membabitkan penilaian terhadap ilmu diperoleh seseorang menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.

Sehingga kini penilaian APEL(A) dibuka untuk empat tahap kemasukan iaitu kemasukan ke program sijil (APEL T-3), diploma (APEL T-40, ijazah sarjana muda (APEL T-6) dan ijazah sarjana (APEL T-7).

Ditanya mengenai program yang menjadi pilihan yang mengikuti APEL, Prof Rujhan berkata majoriti yang lulus penilaian APEL memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains sosial seperti perniagaan, hospitaliti dan kulinari.

Beliau berkata, sejak 2011 hingga kini seramai 3,459 pelajar mengikuti penilaian APEL bagi menyambung pengajian mereka.

"Semua yang mengikuti APEL berasakan ia adalah satu polisi yang memberi manfaat kepada rakyat kerana membantu golongan itu mencapai apa yang selama ini dianggap mustahil untuk menyambung pengajian di institusi pilihan masing-masing.

"Secara ringkasnya, mereka hanya perlu mendaftarkan diri secara atas talian di laman web MQA, menduduki dan lulus ujian 'aptitude' APEL, membina dan menghantar portfolio.

"Bagi mereka yang memohon untuk program ijazah sarjana perlu menghadiri sesi temuduga dan lazimya proses penilaian secara umum adalah antara dua hingga empat bulan," katanya.

305 dibaca
Berita Harian X