Sabtu, 12 Ogos 2017 | 11:36am
ZAINI (dua dari kanan) membunyikan hon sebagai simbolik pelepasan peserta larian 1500 larian Merdeka Colour Run, pada program Merdeka Colour Run 2017, di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ZAINI (dua dari kanan) membunyikan hon sebagai simbolik pelepasan peserta larian 1500 larian Merdeka Colour Run, pada program Merdeka Colour Run 2017, di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. - Foto Mohd Azren Jamaludin

1,500 peserta serikan Merdeka Colour Run 2017

ISKANDAR PUTERI: Lebih 1,500 peserta menyertai program larian Merdeka Colour Run 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Program anjuran penuntut Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, Institut Teknologi ANS Johor Bahru itu membabitkan larian sejauh lima kilometer dalam kawasan Educity.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Pengurus insititut berkenaan, Khairul Safinaz Arsib, berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan 2017, selain memupuk semangat patriotik dan cintakan negara terutama dalam kalangan penuntutnya.

"Selain menyemarakkan bulan kemerdekaan dan merapatkan silaturahim dengan masyarakat, program ini juga bagi memenuhi keperluan subjek pengurusan acara bagi penuntut tahun pertama jurusan berkenaan," katanya.

Khairul Safinaz berkata, kategori yang dipertandingkan ialah lelaki dan perempuan berusia 18 tahun ke bawah; lelaki dan perempuan berusia 18 tahun ke atas serta kategori untuk penuntut institut berkenaan.

Katanya, pingat dan sijil diberikan kepada 10 pemenang pertama bagi setiap kategori, manakala peserta lain menerima sijil penyertaan.

Selain program larian, acara lain seperti zumba, mengibar Jalur Gemilang, 'colour throw' serta cabutan bertuah turut dijalankan.

Seorang peserta, S Sarvaeshan, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai acara larian seperti itu jika berkelapangan.

Beliau yang memenangi tempat keempat berkata, ibunya sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk menyertai aktiviti yang memberi manfaat.

594 dibaca
Berita Harian X