Isnin, 11 September 2017 | 3:05pm
MOHD Fadzil tiga kiri) meneliti sijil Nur Yasmin Amani Mohd Amir (tiga dari kanan), Faris Hilman Ramlan (dua kanan), Siti Nur Syadiyah Mohd Shahriza (dua kiri) dan Andi Amirul Akmal Amirrullah (kiri) pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Kecemerlangan Pendidikan Koperasi The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

27 anak kakitangan NSTP terima anugerah kecemerlangan pendidikan

Kuala Lumpur: Seramai 27 anak ahli Koperasi The News Straits Times Press (NSTP) yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama tahun lalu menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Koperasi NSTP 2017.

Pelajar cemerlang ini dipilih sebagai penerima bagi setiap kategori iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan setiap pemenang membawa pulang wang tunai dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Koperasi NSTP, Mohd Fadzil Abdul Ghani.

Yang turut hadir, Pengurus Koperasi NSTP, Ridzwan Ahmad dan Setiausaha Koperasi NSTP, Zulfakar Wahib.

Fadzil berkata, anugerah ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada anak anggota koperasi yang berjaya dalam akademik.

"Anugerah yang dianjurkan setiap tahun ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak kakitangan yang telah bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran sehingga berjaya mendapatkan keputusan cemerlang.

"Diharapkan anugerah ini dapat mendorong dan menyuntik semangat pelajar supaya terus berusaha gigih bagi mencapai kecemerlangan seimbang dalam akademik dan kokurikulum," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Balai Berita di sini, semalam.

Sementara itu, penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori PT3, Nur Yasmin Amani Mohd Amir, 16 berkata mengerjakan solat duha pada setiap hari antara rahsia kejayaannya memperoleh keputusan 10A dalam PT3.

"Saya bersyukur dan gembira kerana penat lelah saya selama ini membuahkan hasil.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching yang telah banyak membantu dalam mendapatkan kejayaan ini," katanya.

94 dibaca
Berita Harian X