Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:13pm
PENGARAH Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa'ad.

Buku rujukan bertepatan KBAT

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) bercanggah pendapat dalam isu penggunaan buku kerja dan buku latihan.

Presiden KGMMB, Datuk Mohamad Sabri Mohd Arsad, berkata walaupun buku teks disediakan Kementerian Pendidikan memenuhi sukatan pembelajaran, namun buku rujukan tambahan perlu untuk pengukuhan dan pengayaan.

Katanya, murid menggunakan buku teks yang sama di seluruh negara menjadikan mereka mengulang kaji dan menjawab soalan yang sama, sedangkan buku rujukan tambahan mempelbagaikan pengetahuan dan kemahiran mereka sejajar pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata, sekolah mempunyai panitia dalam semua mata pelajaran yang akan membuat keputusan berhubung buku berkualiti dan penulis dalam kalangan berpengalaman menggubal soalan dan memeriksa kertas peperiksaan.

"Untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia seperti disasarkan kerajaan, pelajar mesti mempelbagaikan buku rujukan dan latihan termasuk buku bertaraf antarabangsa untuk pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, pihak sekolah tak paksa ibu bapa beli buku rujukan tambahan. Cuma biasalah bagi murid khususnya sekolah rendah, bila kawan beli, mereka pun mahu sehingga ibu bapa menganggapnya wajib dibeli," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, semalam bahawa murid dibebani dengan penggunaan seperti buku kerja dan buku aktiviti yang dibeli sehingga ada murid yang membawa 10 kilogram buku ke sekolah setiap hari. 

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya bersetuju dengan penggunaan buku teks sekolah sepenuhnya tanpa membeli buku kerja dan latihan tambahan.

Katanya, dikhuatiri wujud jurang pelajar dalam kalangan keluarga kaya mampu membeli buku rujukan tambahan, sedangkan yang kurang berkemampuan terpaksa bergantung kepada buku teks yang disediakan kementerian.

"Ini juga akan mewujudkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan semata-mata, iaitu untuk mengejar semua A. Mereka yang kurang cemerlang akhirnya tercicir pada usia muda," katanya.

Bagi Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa'ad, dalam sesetengah kes, walaupun banyak buku latihan dan kerja dibeli dari luar, namun segelintir guru tidak memeriksa latihan berkenaan sehingga melemahkan motivasi pelajar dan menjadikan mereka stres.

"Kita juga tak mahu murid dijadikan mangsa untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan pengetua kepada guru sehingga mereka bertindak mempelbagaikan buku rujukan di luar kemampuan pelajar.

"Situasi ini boleh dijadikan positif jika pihak pengurusan meletakkan KPI mengikut kemampuan pelajar kerana apabila melebihi kemampuan ia akan menjadi stres untuk mencapai sasaran," katanya.

404 dibaca
Berita Harian X