Khamis, 9 November 2017 | 1:32am
KHAIRY ketika soal jawab selepas hadir pada sesi dialog TN50 bersama pelajar institut pengajian tinggi di UMP cawangan Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Belia mahu pendidikan

KUANTAN: Perpaduan kaum dan peluang pendidikan seimbang menjadi tumpuan pada sesi Dialog TN50 Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan.

Sebanyak 35 aspirasi pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) dikongsi pada dialog yang menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai moderator.

Idris berkata, semua aspirasi dikemukakan pelajar pada dialog itu akan dibukukan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebelum dijadikan rujukan untuk memastikan ia dapat dicapai.

"Kita sudah mendengar aspirasi mereka malam ini dan terdapat banyak cadangan yang baik dikemukakan pelajar. Kita ambil maklum semua ini dan seperti yang Khairy kata pada sesi penutup, ia akan diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

"Isu perpaduan antara kaum antara yang dikemukakan dan ia perkara yang kita sentiasa beri perhatian.

"Begitu juga dengan akses pendidikan seimbang yang lebih baik kepada semua. Ini juga akan diambil maklum oleh kami dan kita akan pastikan ia menjadi keutamaan kepada kerajaan dalam memberikan peluang pendidikan terbaik kepada semua," katanya ketika ditemui selepas sesi dialog itu, malam tadi.

Dialog bertajuk Ke Arah Sistem Pendidikan Terbaik Di Dunia itu berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kira-kira 5,000 pelajar menyertai sesi dialog itu yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Khairy Jamaluddin sebelum ini memaklumkan laporan aspirasi belia untuk wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dijangka dapat disiapkan akhir Disember ini.

Katanya, laporan itu akan diterbitkan dalam bentuk buku yang mengumpulkan dan memperincikan aspirasi belia untuk 2050.

Pada masa ini, TN50 sudah pun memasuki fasa kedua apabila Kumpulan Masa Depan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei lalu, sudah memulakan sesi perbincangan bagi meneliti lebih 50,000 cadangan atau aspirasi yang disampaikan 1.2 juta rakyat.

599 dibaca
Berita Harian X