Sabtu, 11 November 2017 | 5:07pm
AZIZUL (empat dari kiri) dan Abdul Jalil (tengah) bergambar bersama ahli pengurusan FKPM dan AJK Alumni Masscomm UITM, Shah Alam, hari ini.

UiTM perkenal program media baharu selaras keperluan digital

 

SHAH ALAM: Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu yang diperkenalkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak September lalu, menjadi platform bagi melahirkan graduan lebih berkemahiran dan berdaya saing.

 

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata ini kerana program itu seiring keperluan dan kehendak pasaran interaktif masa kini.

 

"Cara dan bentuk kita berkomunikasi sudah berubah kalau hendak dibandingkan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lalu.

 

"Penggunaan tablet dan telefon pintar semakin meluas, malah televisyen juga tidak lagi digunakan sebagai alatan tontonan semata-mata.

 

"Justeru, penuntut akan didedahkan kepada aplikasi dan terjemahan merangkumi teknik animasi, permainan dan media interaktif bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Alumni Masscomm Bersama Ahli Pengurusan FKPM di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

 

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Presiden Alumni Masscomm UiTM, Datuk Abdul Jalil Hamid.

 

Azizul berkata, lebih 30 penuntut pengambilan pertama akan menamatkan pengajian dalam tiga tahun dan beliau yakin, peluang pekerjaan amat cerah malah dapat memberi pulangan kepada sektor ekonomi negara.

 

"Graduan berpeluang mengisi ruang kosong yang bukan sahaja berkonsepkan ledakan teknologi media baharu, malah berteraskan keusahawanan yang mampu menjana pendapatan.

 

"Kita sedia maklum dengan permintaan pasaran digital kerana elemen yang diterapkan ini bukan sekadar syok sendiri, sebaliknya dapat menyuntik kelainan sejajar perkembangan teknologi," katanya.

684 dibaca
Berita Harian X