Ahad, 12 November 2017 | 12:38am
PERMAISURI Johor selaku Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek daripada Pengerusi Johor Port, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) kepada Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar pada Majlis Santapan Diraja Makan Malam Gala 2017 di Dewan Residensi, UTM Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

UTM kumpul sumbangan RM1.5 juta

KUALA LUMPUR: Komitmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Majlis Santapan Diraja Makan Malam Gala 2017 bagi membantu meringankan kos pengajian pelajarnya yang kurang berkemampuan, berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.5 juta.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata sumbangan hasil penjualan meja majlis santapan malam itu akan disalurkan kepada tabung UTM Cares, antaranya Wakaf Pendidikan dan Because We Care Chancellor's Fund.

"Sumbangan ini diperoleh daripada badan korporat, organisasi swasta dan individu, selain persatuan, alumni serta staf universiti.

"UTM akan menyalurkan sumbangan ini kepada mahasiswa kurang berkemampuan, sama ada melalui pemberian biasiswa atau bantuan kewangan bagi membiayai kos pengajian dan sara hidup," katanya ketika berucap pada majlis itu di Dewan Residensi, UTM Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Majlis itu dihadiri Permaisuri Johor selaku Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Baginda turut berkenan menerima replika cek yang disampaikan individu dan wakil setiap penyumbang.

Yang turut hadir, Pro Canselor UTM, Tan Sri Salleh Mohd Nor, Tan Sri Dr Lin See Yan dan Tan Sri Dr Siti Sa'adiah Sheikh Bakir.

Wahid berkata, ketika ini, hampir 50 peratus mahasiswa UTM datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan kewangan sekiranya menepati syarat ditetapkan universiti.

346 dibaca
Berita Harian X