Ahad, 12 November 2017 | 6:58pm
SYIKH Sazlin Shah Sabri bersama isteri, Sapiah Abdul Hamed menamatkan pengajian mereka bersama-sama dan menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) ke-33 di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Suami, isteri sama-sama genggam ijazah

KUALA LUMPUR: Kesibukan kerja selain perlu menguruskan hal rumah tangga bukan penghalang untuk sepasang suami isteri menamatkan pengajian mereka bersama-sama dan menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) ke-33 di sini.

Pada majlis konvokesyen itu, Sapiah Abdul Hamed, 42, dan suaminya Syikh Sazlin Shah Sabri, 38, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di bawah Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan.

Pasangan itu adalah antara 1,088 graduan yang menerima ijazah pada sidang ketiga istiadat konvokesyen UIAM hari ini yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak.

Seramai 5,165 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Sapiah berkata, pelbagai cabaran yang perlu mereka harungi sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun itu antaranya tanggung jawab terhadap keluarga dan pekerjaan masing-masing serta cara menguruskan perbelanjaan.

"Nampak mudah, tetapi ada masa memang rasa nak menangis. Untuk sampai ke tahap ini memang perlu banyakkan sabar dan bijak kawal tekanan. Memandangkan kami belajar sambil bekerja jadi banyak waktu berehat atau bersama keluarga terpaksa dikorbankan.

"Perlu hadiri kelas, adakan perbincangan kumpulan, siapkan tugasan dan 'bertapa' (ulang kaji) sebelum hadapi peperiksaan. Pernah rasa nak mengalah, namun keluarga selalu beri sokongan," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.

Selain itu, sikap saling memahami, bertukar dan berkongsi pendapat serta saling memberi dorongan membuatkan pengajian mereka berjalan lancar, katanya yang menggalakkan lebih ramai pasangan yang sudah berumah tangga menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Terdahulu Asyraf Wajdi ketika ditemui pemberita, melahirkan rasa gembira terhadap kecemerlangan para graduan universiti itu hasil modul institusi pengajian tinggi yang telah memberi impak serta sumbangan besar di peringkat dunia.

Asyraf Wajdi yang juga Alumni UIAM, berkata universiti berkenaan adalah antara model pendidikan negara yang matang serta perlu dibanggakan kerana mengintegrasikan ilmu keduniaan dan akhirat yang holistik dalam proses membangunkan sebuah tamadun. - BERNAMA

1455 dibaca
Berita Harian X