Isnin, 13 November 2017 | 1:22pm
PESERTA bersaing untuk merebut kejuaraan di Festival Catur Seri Pristana Chess Club. semalam.

Festival catur platform cungkil bakat

KUALA SELANGOR: Festival Catur Seri Pristana Chess Club yang berakhir petang semalam menjadi platform untuk membentuk generasi anak muda yang lebih berkeyakinan serta berdaya saing.

Pertandingan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana itu disertai seramai 270 kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke bawah.

Pengerusinya, Hasnul Auzani Hassan, berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan, malah setiap peserta yang datang dari serata negeri bersaing secara kreatif untuk merebut kejuaraan.

"Sukan ini dapat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan lebih inovatif dalam menyelesaikan masalah, sekali gus positif untuk berdepan pelbagai cabaran hidup.

"Banyak bakat baharu dapat dicungkil, sekali gus dapat memperkenalkan kelab catur sekolah ini kepada umum," katanya.

Pertandingan berkenaan yang dibahagikan kepada tiga kategori menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM150 kepada juara, selain piala dan sijil penyertaan.

Aidyl Syazwan Salehuddin menjuarai kategori U10 manakala Le Hao Ming dan Muhd Luqman Alif Zairudin masing-masing menjuarai kategori U8 dan U12.

179 dibaca
Berita Harian X