Isnin, 13 November 2017 | 4:09pm
PASANGAN suami isteri, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan, Zaim Muzhaffar Ramlan dan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Akademik, Syakiratul Azimah Azmi bersama ibu bapa mereka di Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke 33 di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak. - Foto Eizairi Shamsudin
PASANGAN suami isteri, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan, Zaim Muzhaffar Ramlan dan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Akademik, Syakiratul Azimah Azmi di Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke 33 di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak. - Foto Eizairi Shamsudin

Gurauan jadi kenyataan

GOMBAK: Saling membantu, miliki persefahaman dalam hubungan dan amalan persaingan secara sihat antara resipi kejayaan dikongsikan sepasang suami isteri yang menamatkan pengajian mereka bersama-sama

Lebih manis, Zaim Muzhaffar Ramlan, 24, dan isterinya Syakiratul Azimah Azmi, 24, terpilih graduan cemerlang program, pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-33 di sini, hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, Zaim Muzhaffar dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik (Keseluruhan) manakala isterinya, Pelajar Terbaik (Akademik) Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Zaim Muzhaffar berkata, beliau dan isterinya mengenali antara satu sama lain sejak mula menuntut di universiti itu pada 2012, dan mendirikan rumah tangga pada April lalu.

Katanya, mereka sering bekerjasama terutama dalam meningkatkan prestasi akademik memandangkan mereka berdua juga mengikuti program yang sama.

"Kami saling membantu. Sebagai contoh, saya lebih kuasai dalam subjek membabitkan pengaturcaraan, manakala isteri lebih mahir dalam Matematik.

"Lebih penting, untuk berjaya, kita jangan sekali-kali lari kalau berdepan dengan masalah ataupun cabaran, sebaliknya, perlu positif tempuhinya. Insya Allah kejayaan pasti akan dapat dikecapi," katanya ketika ditemui media pada majlis konvokesyen berkenaan, di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak, di sini, hari ini.

Pasangan itu antara 1,081 graduan yang menerima ijazah pada sidang kelima yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Datuk Seri Syed Hussien Abd Kadir.

Yang turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Sementara itu, Syakiratul Azimah berkata, kejayaan diperolehnya itu tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan pengorbanan besar khususnya membabitkan pengurusan masa dengan seimbang, memandangkan kedua-dua mereka bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan anjuran kampus.

"Dia pernah bergurau dengan saya sebelum ini, mahu menjadi pelajar terbaik dan alhamdulillah gurauan itu menjadi kenyataan," katanya.

Seramai 5,165 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen UIAM yang berlangsung selama tiga hari, bermula Sabtu lalu.

4960 dibaca
Berita Harian X