Isnin, 13 November 2017 | 5:35pm
Kempen Sekolah FULLAMARK di Sekolah Kebangsaan St. John 1, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

FullAMark tingkat pencapaian pelajar

KUALA LUMPUR: Portal pendidikan interaktif The New Straits Times Press (NSTP), FullAMark meneruskan program jelajah bagi mempromosi portal itu di Sekolah Kebangsaan (SK) St John 1, di sini hari ini.

Program itu bertujuan untuk memperkenalkan portal FullAMark kepada murid Tahun Lima bagi membantu mereka melakukan persediaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi, berkata program itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kami (NSTP) berhasrat untuk melakukan lawatan ke lapan sekolah terpilih di sekitar Lembah Klang untuk mengendalikan sesi demonstrasi produk pembelajaran secara dalam talian ini sebagai aktiviti tambahan selepas peperiksaan atau sebelum bermulanya cuti persekolahan.

"Sesi demonstrasi ini akan membabitkan penyertaan murid Tahun Lima yang bakal menduduki UPSR, pelajar Tingkatan Dua yang akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan pelajar Tingkatan Lima yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan," katanya ketika ditemui di sini.

Seramai 80 murid menyertai program yang diadakan di SK St John 1, di sini.

Sementara itu, seorang peserta, Aazad Shaqeel Abdullah, 11, dari Ampang, berkata dia mengetahui berkenaan portal itu kerana pernah menonton iklan di televisyen.

"Saya yakin portal ini dapat membantu saya membuat ulang kaji secara berkesan bagi menghadapi UPSR tahun hadapan.

"Portal ini menawarkan subjek dan soalan secara interaktif yang menyeronokkan. Selain itu, portal ini juga seperti tuisyen maya kepada murid," katanya ketika ditemui, di sini.

INFO:

Program ini menyasarkan 1,366 pelajar

(766 murid sekolah rendah dan 600 pelajar sekolah menengah)

Aktiviti utama program:

* Menyediakan panduan mengenai cara penggunaan FullAMark bagi

menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar kelas melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

* Pengunaan FullAMark boleh menjadi pemangkin bagi peningkatan prestasi

akademik pelajar.

* Demonstrasi produk FullAMark.

115 dibaca
Berita Harian X