Selasa, 14 November 2017 | 3:22pm
PENASIHAT Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid bercakap ketika Forum Pendidikan Kejuruteraan Dunia ke-7 (WEEF) 2017 di Hotel Berjaya Times Square. - Foto Asyraf Hamzah

Masyarakat perlu perkasa STEM

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk ahli akademik, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat perlu memainkan peranan dalam memperkasakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, berkata ahli akademik perlu mendampingi pembuat dasar di kementerian berkaitan bagi membantu kerajaan dalam memperkasakan STEM.

"NGO dan ibu bapa juga perlu memberi bekerjasama selain pembabitan sektor korporat kerana mereka adalah penggerak besar dalam pembangunan ekonomi negara.

"STEM adalah isu antara generasi iaitu pelaburan untuk masa hadapan dan kita tidak boleh melihat hasil yang dilakukan hari ini, pada minggu hadapan, sebaliknya impaknya akan terlihat pada generasi akan datang," katanya kepada BH selepas menyampaikan ucap utama pada Forum Pendidikan Kejuruteraan Dunia ke-7 (WEEF) 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Pendidikan Kejuruteraan (IFEES), Prof Dr Michael Auer; Pengerusi WEEF 2017, Prof Dr Khairiyah Mohd Yusof dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zainuddin Abdul Manan.

Beliau berkata, WEEF 2017 adalah satu cara untuk Malaysia menunjukkan kepada dunia mengenai sistem pendidikan negara sama ada sekolah atau universiti.

"Saya berharap peserta negara mendapat panduan dan pengajaran dari pelajar luar selain ini juga adalah satu langkah bagi mempromosikan kerjasama antarabangsa," katanya.

WEEF 2017 dianjurkan Persatuan Pendidikan Kejuruteraan Malaysia (SEEM) dan IFEES bermula kelmarin hingga Khamis ini.

WEEF 2017 yang julung kali diadakan di negara ini, bertujuan untuk menyatukan pembuat dasar, pemimpin, pengamal pendidikan kejuruteraan dan penyelidikan dalam bidang berkenaan dari seluruh negara bagi membincangkan isu kritikal dan memberikan resolusi dalam hal berkaitan, serta mengukuhkan rangkaian dalam kalangan komuniti seluruh dunia.

Program bertemakan 'Era Kerjasama Bersinergi' dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UTM itu membabitkan kira-kira 500 penyertaan daripada 35 negara.

Sementara itu, Dr Khairiyah yang juga Pengarah Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM, berkata WEEF 2017 adalah peluang yang baik untuk menambah ilmu dan membina rangkaian dengan pakar dan berkongsi pendapat bersama peserta antarabangsa.

"Selain forum berkenaan, acara seperti sesi khas dan sesi pembentangan kertas kerja, terdapat beberapa pameran, bengkel, sesi rangkaian dan forum pelajar yang direka khusus untuk bertukar pendapat dan berkongsi idea dengan pelajar dari negara luar," katanya.

309 dibaca
Berita Harian X