Selasa, 14 November 2017 | 8:51pm
KETUA Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli (kiri), dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan) Aminudin Adam (kanan), bertukar penjanjian dokuman surat hasrat kerjasama ketika Majlis Pengiktirafan Sekolah - Sekolah Di Bawah Program Bimbingan Seni Budaya di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur. disaksikan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng (tengah). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pembangunan modal insan melalui seni budaya

KUALA LUMPUR: Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) sejak tahun 1996 berupaya membantu perkembangan seimbang kanak-kanak dari sudut fizikal dan spiritual, seawal usia enam tahun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Norliza Rofli, berkata PBSB adalah langkah susulan menambah baik usaha kerajaan membangunkan modal insan negara melalui bidang seni budaya di peringkat sekolah rendah dan juga menengah.

Beliau berkata, PBSB adalah kaedah pembelajaran dan pengajaran asas dalam bidang seni budaya, yang dibentuk, disusun dan distruktur pelaksanaannya oleh JKKN bersama-sama Kementerian Pendidikan.

"Usia PBSB yang menjangkau 20 tahun pelaksanaannya diberi nafas baharu pada tahun 2005 dan terus mendapat sambutan hangat daripada sekolah seluruh negara

"Ini dibuktikan dengan jumlah pelajar menyertai PBSB seramai 240,000 orang membabitkan 2,376 jurulatih di 9,626 sekolah seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Sekolah-Sekolah dibawah PBSB JKKN, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng; Timbalan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pendidikan, Qalam Zainudin Sani dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Aminudin Adam.

Pada majlis itu, turut diadakan majlis menandatangani dokumen surat hasrat bagi meneruskan kerjasama antara JKKN dan Kementerian Pendidikan.

Sebanyak 140 sekolah menerima pengiktirafan PBSB, terdiri daripada 55 sekolah rendah, sekolah menengah (57), sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (15) serta sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (13).

97 dibaca
Berita Harian X