Rabu, 15 November 2017 | 12:43pm
PENGURUS Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop menunaikan impian anak Noradila untuk membeli basikal.
ABDUL Ghaffar menghadiahkan sebuah ketuhar kepada keluarga Ahmad Nizam.

PTPTN bantu ringan beban keluarga

KUALA LUMPUR: Melihat kesungguhannya mencari rezeki sebagai mekanik untuk menyara keluarga, pasti tiada yang menyangka,Zahrin Tolha sedang bertarung dengan kanser tulang tahap empat.Sekalipun penyakit dihidapinya semakin teruk, Zahrin, 34, tetap gigih bekerja dengan berbekalkan mesin oksigen.

Dengan pendapatan tidak menentu, Zahrin tidak mudah mengalah, sebaliknya beliau mendapat kekuatan untuk bekerja demi tiga cahaya matanya. Ujian keluarga ini bukan hanya terhadap Zahrin tetapi isterinya, Sharifah Mariana Syed Abu Kasin adalah orang kurang upaya (OKU) kaki dan tangan yang membuatkan pergerakannya terbatas dalam menguruskan rumah tangga. "Walaupun menghidap kanser, saya masih mampu membuat kerja kerana anak adalah kekuatan dan saya sentiasa memikirkan untuk membesarkan mereka.

"Jika mereka meminta sesuatu yang mahal, saya beritahu kalau ada duit, saya akan belikan dan mereka sangat memahami," katanya yang menjalankan pekerjaan di rumah. Zahrin yang berasal dari Sabak Bernam menghidap kanser ketika berusia 17 tahun dan penyakit itu menyebabkan kakinya dipotong pada 2000, sekali gus membataskan pergerakannya. Sebagai bapa, dia mahukan masa depan terjamin untuk tiga anaknya, Ariana Syazafira 11; Ariana Alesya, 8, dan Ariana Ayunie, 6.


MASTURA menyampaikan sumbangan kepada keluarga Julina.

Jamin pembelajaran anak

Dalam kerisauan itu, Zahrin bersyukur Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) datang membantu menghulur barangan keperluan, cenderahati, basikal dan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi Plus) pakej Intan kepada semua anaknya. Pakej berjumlah RM1,800 diberikan kepada setiap anak secara tabungan bulanan RM30 untuk tempoh lima tahun.

Menerusi bantuan itu, PTPTN berharap pembelajaran anak Zahrin akan terjamin. Bagi Ariana Syazafira, pemberian PTPTN itu sangat bermakna buatnya dan memberi semangat untuk belajar lebih gigih bagi mencapai cita-cita menjadi doktor, sekali gus dapat membantu keluarganya.

Sementara itu, di Tampin, Negeri Sembilan, ibu kepada tujuh cahaya

mata, Noradila Rahman, 33, berkata segala kudrat akan digembleng demi kelangsungan hidup keluarganya.


NORADILA (berdiri belakang kiri) berterima kasih atas bantuan PTPTN.

3 anak hidap penyakit kronik

Hidup Noradila diuji apabila tiga anaknya berdepan penyakit kronik yang memerlukan perhatian dan pemantauan, selain kos perubatan mencecah RM1,500 sebulan, menyebabkan beliau mengambil upah mencuci villa serta menjual kuih untuk menambah pendapatan.

Anak keduanya, Mohd Farid Amirul Azman 14, menghidap tumor otak dan sawan sejak berusia lapan tahun, manakala anak keempat, Ahmad Nazirul Hakim, 11, serta anak bongsu, Ar Rayyan Rizki Ramadan, 1, mengalami asma kronik sejak lahir. Nasib Noradila mendapat perhatian PTPTN yang menunaikan impian anaknya yang mahu basikal dan membawa mereka ke cawangan PTPTN berhampiran untuk membuka akaun SSPNi Plus.

Setiap anak Noradila menerima pakej Intan berjumlah RM1,800 iaitu RM30 sebulan untuk tempoh lima tahun, selain diberikan barangan keperluan dan cenderahati. "Saya berterima kasih dengan PTPTN yang prihatin dengan nasib anak saya dan menunaikan impian mereka," katanya.


TIMBALAN Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid (empat dari kanan) menyampaikan bantuan kepada anak Zahrin.

Kesukaran tanggung keluarga sakit dapat perhatian

Bagaikan kehilangan sebelah sayap apabila suami yang menjadi tonggak keluarga pergi menghadap Ilahi selepas beberapa bulan bertarung penyakit kanser hati. Itulah yang dilalui, Julina Lassim, 46, yang kehilangan suaminya, Ramlan Jaafar pada Mei tahun lalu. Julina yang berkahwin dengan arwah suaminya selama 23 tahun pada mulanya tidak mampu berdikari, namun memikirkan nasib empat anak, beliau bangkit melawan perasaan itu.

"Keadaan berubah sekelip mata. Ketika suami ada, walaupun sakit dia tetap bantu dan anak-anak terjaga. "Sejak suami tidak ada, sayasusah, tetapi terpaksa kuatkan semangat demi anak. Syukur jiran dan kawan arwah suami banyak membantu," katanya yang menjadi tukang cuci di sekolah swasta di Mantin, Negeri Sembilan.

Ibu kepada Muhammad Aiman, 13, Muhammad Aqim, 11, Muhammad Adif 9, dan Nur Dalisa 4, bertuah kerana anakanak amat memahami apa yang dilalui. Anak sulungnya, Muhammad Aiman banyak membantu dalam menguruskan adiknya ketika beliau bekerja. Malah, ketika suaminya sakit, Muhammad Aiman banyak membantu menguruskan bapanya.

Alami sakit tulang belakang Dalam usaha membesarkan anaknya sendirian, Julina turut berdepan kesukaran kerana mengalami sakit tulang belakang yang kronik, menyebabkannya tidak boleh berdiri terlalu lama dan berjalan jauh. Kesukaran yang dilalui keluarga ini mendapat perhatian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tampil membantu meringankan beban mereka.

Selain bantuan Skim Simpanan SSPNi Plus pakej Intan berjumlah RM1,800 beberapa bantuan untuk keperluan pembelajaran juga diberi. Keluarga Julina dibawa ke kedai perabot untuk membeli meja dankerusi bagi memudahkan anaknya belajar di rumah, selain barang keperluan harian.


NORADILA (berdiri belakang kiri) berterima kasih atas bantuan PTPTN.

Dengan bantuan itu ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga Julina. Ubah landskap hidup Sementara itu, bagi Ahmad Nizam Saidin, 45, pula sakit jantung kronik yang menyerang secara tiba- tiba mengubah kehidupannya.

Jika dulu Ahmad Nizam yang bekerja sebagai pembantu peraih ikan di Kota Kuala Muda, Kedah mampu bekerja berat mengangkat barang dan membawa lori, kini keadaan mula berubah. Ahmad Nizam kini hanya melakukan kerja ringan dan seandainya penat, beliau mungkin pengsan. Keadaan kesihatannya itu juga membuatkan pendapatan Ahmad Nizam terjejas jika beliau ditahan ke wad. "Kalau dulu boleh angkat barang, kerja berat, bawa lori tetapi sekarang tidak lagi. "Kalau penat, badan terasa sakit dan perlu masuk wad.

"Pendapatan yang ada sekadar cukup menampung keperluan harian, tetapi kalau saya masuk wadkeadaan agak sukar," katanya yang meraih pendapatan RM50 sehari. Ahmad Nizam yang berkahwin dengan Azira Abdullah, 43, dikurniakan enam cahaya mata. Anak sulungnya, Alif Nazmi 20, sudah bekerja, manakala lima lagi masih bersekolah.

Dalam keadaan sukar itu, Azira membantu menampung keperluan keluarga dengan menjahit dan Alif bekerja untuk memastikan adikadiknya belajar dengan baik. Semangat Ahmad Nizam untuk memastikan pelajaran anakanaknya terjamin, mendapat perhatian PTPTN yang tampil membantu menyediakan simpanan SSPNiPlus pakej Intan sebanyak RM1,800 seorang membabitkan simpanan RM30 sebulan untuk tempoh lima tahun.

Selain pemberian cenderahati, anak-anak Ahmad Nizam dibawa ke kedai buku di Sungai Petani untuk membeli barangan keperluan sekolah. Bagi membantu Azira meningkatkan pendapatan keluarga, PTPTN menghadiahkan sebuah ketuhar untuknya mengambil tempahan membuat kek dan kuih.

135 dibaca
Berita Harian X