Rabu, 6 Disember 2017 | 9:57pm
CEO Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin pada majlis penutup 'CIMB Young ASEAN Leaders' 2017 di Menara CIMB. - Foto Osman Adnan

CYAL 2017 perkasa pemimpin belia ASEAN

KUALA LUMPUR: Program Pemimpin Muda ASEAN CIMB (CYAL) 2017 mampu memperkasa peranan belia untuk memastikan kelangsungan masa depan ASEAN terutama dalam mendepani cabaran Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian.

Program kali kelima bertemakan perkongsian ekonomi tanpa sempadan itu adalah platform terbaik bagi menggalakkan lagi jaringan, perkongsian kepelbagaian budaya dan meningkatkan kefahaman belia berhubung isu semasa dengan menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin, berkata penting untuk belia didedahkan dengan elemen seperti keusahawanan, sosioekonomi dan nilai kepimpinan kerana mereka yang akan mencorakkan kepimpinan negara pada masa hadapan.

"Kunci kejayaan masa depan ASEAN terletak pada golongan belia ini dan program ini diharap dapat membentuk peserta menjadi agen perubahan berkesan serta berupaya menangani pelbagai cabaran mendatang dalam memastikan kejayaan rantau ASEAN yang mampan.

"Kami juga berharap supaya peserta dapat memanfaatkan segala ilmu dan perkongsian idea dimiliki untuk menerajui landskap operasi berteknologi baru kini seiring Revolusi Perindustrian 4.0, dunia tanpa sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program berkenaan di Menara CIMB, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan CIMB, Datuk Robert Cheim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah serta Pengarah Pusat Transformasi dan Komuniti UKM, Prof Datuk Dr Rokiah Omar.

Bengkel selama empat hari anjuran Yayasan CIMB dengan kerjasama UKM itu disertai 50 peserta dari 10 negara seperti Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Yayasan CIMB ditubuhkan pada November 2007 dan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan.

Sejak ditubuhkan, yayasan berkenaan menyalurkan peruntukan lebih RM120 juta menerusi 962 inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 individu.

123 dibaca
Berita Harian X