Khamis, 7 Disember 2017 | 7:29pm
KHADIJAH Abdullah (kanan) menunjukkan Anugerah Pengurusan Projek Mike Nicholas untuk Inspirasi 2017 yang dimenangi di United Kingdom manakala Radzifuddin Nordin menunjukkan buku laporan tahunan PADU 2016 selepas mengadakan sidang media di Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad

Dunia iktiraf pelan pendidikan Malaysia

PUTRAJAYA: Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nicholas untuk Inspirasi 2017, yang dimenangi Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU), Kementerian Pendidikan, membuktikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 diiktiraf pada peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif PADU, Khadijah Abdullah, berkata pengiktirafan yang diterima di United kingdom itu menjadi kebangaan Kementerian Pendidikan kerana meletakkan negara di persada dunia.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama warga kementerian terutama guru sekolah dalam melaksanakan PPPM 2013-2025, yang bermula pada 2013.

Beliau memaklumkan, banyak negara luar seperti Pakistan, Nigeria, Myanmar, Thailand dan Bhutan, berminat melaksanakan pelan itu di negara masing-masing.

"Mereka sangat teruja melihat usaha kita melakukan transformasi pendidikan negara," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Pengurusan Program PADU, Radzifuddin Nordin serta Pengarah Eksekutif, Pengurusan Perubahan dan Komunikasi PADU, Azzatullina Pawanchik.

Pada 20 November lalu, PADU meraih kejayaan itu dengan mengetepikan pesaing syarikat multinasional global, termasuk Royal Dutch Plc, Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls Royce, BAC Systems dan Fujitsu.

Panel memaklumkan pemilihan PADU adalah berdasarkan kecemerlangan menguruskan pelaksanaan agenda transformasi besar-besaran pendidikan dan memberi kesan positif berpanjangan kepada masyarakat di negara ini.

Khadijah berkata, pelan pendidikan itu adalah dokumen kebangsaan yang diiktiraf badan terkenal dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Beliau berkata, pihaknya turut berterima kasih atas sokongan berterusan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang banyak membantu dan memberi sumbangan dalam usaha mendapatkan anugerah itu.

Katanya, selepas tiga tahun dilaksanakan, PPPM 2013-2025 berjaya mengubah landskap pendidikan negara, dengan pencapaian 86 peratus menerusi tiga keberhasilan utama dalam Gelombang Pertama PPPM.

"Tiga keberhasilan ini merangkumi penguasaan Literasi dan Numerasi (Linus) dalam kalangan murid, peningkatan enrolmen prasekolah dan sekolah rendah serta merapatkan jurang murid luar bandar dan bandar.

"PPPM turut meningkatkan akses pendidikan dengan penambahan enrolmen pelajar menengah rendah dalam pendidikan teknik dan vokasional (TVET)," katanya.

186 dibaca
Berita Harian X