Rabu, 27 Disember 2017 | 7:07pm

NUTP: Perlu ada garis panduan baharu hukuman

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling baharu mengenai kaedah hukuman yang dibenarkan ke atas pelajar.

Garis panduan baharu bersesuaian dengan cabaran guru mendidik masa kini.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock, berkata kajian semula perlu dibuat ke atas Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 yang dikeluarkan bagi memberi maklum kepada guru mengenai bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar yang melakukan salah laku di luar Peraturan-peraturan Pelajaran seperti berkeliaran dan bising di dalam kelas.

"Surat pekeliling itu kali terakhir dikeluarkan pada 1983. Ada peraturan baharu mengenai hukuman yang dikemas kini dari semasa ke semasa, tetapi lebih baik jika satu garis panduan lengkap yang terkini dikeluarkan.

"Bukan saja mengenai hukuman yang dilarang tetapi yang dibenarkan, supaya guru ini boleh mendisiplinkan pelajar tanpa rasa seperti tangan mereka diikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huat Hock berkata, surat pekeliling atau garis panduan baharu itu menerangkan dengan jelas bentuk hukuman yang dibenarkan supaya tidak menjadi salah faham dalam kalangan ibu bapa sehingga menyebabkan guru disiplin dipersalahkan.

Beliau berkata, pelantikan guru disiplin di setiap sekolah hendaklah disusuli dengan surat lantikan khas, walaupun Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 10/2001 sebelum ini menyatakan semua guru ialah guru disiplin.

"Walaupun ia hanya surat lantikan, namun itu adalah kuasa dan boleh membantu guru jika tindakan mengenakan hukuman terhadap murid yang melakukan kesalahan menjadi masalah kepada guru itu di kemudian hari," katanya. - BERNAMA

459 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »