;
Sabtu, 6 Januari 2018 | 3:41pm
MENTERI Pendidikan Tinggi yang juga Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (dua, kiri) bersama isteri Toh Puan Che Kamariah Zakaria (dua, kanan) bergambar bersama penerima Rumah Komuniti yang ke-174, Wan Rusliza Wan Sulaiman (tiga, kiri) di Kampung Tok Has, Jertih hari ini. - Foto BERNAMA

KPT nafi bayar untuk penarafan universiti

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan membuat bayaran untuk mendapat penarafan universiti dunia, 'Quacquarelli Symonds' (QS) kepada universiti tempatan.  

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tuduhan itu amat berat kerana kementerian tidak pernah melakukan apa-apa bayaran kepada pihak terbabit bagi membuat penilaian dan penarafan kepada universiti di negara ini.

Beliau berkata, tuduhan itu dilakukan pihak pembangkang yang iri hati dengan kejayaan kerajaan apabila tujuh universiti awam di negara ini mendapat pengiktirafan dunia.

"Sebagai contoh kejayaan Universiti Malaya (UM) mendahului universiti awam (UA) Malaysia dalam penarafan universiti dunia QS mengikut subjek 2017 dalam lima bidang yang dinilai pada peringkat antarabangsa, adalah disebabkan kemampuan universiti terbabit menepati ciri-ciri penarafan.

"UM berada pada rangking (kedudukan) ke-35 dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, diikuti Universiti Teknologi Malaysia di tangga ke-90); Universiti Sains Malaysia (93); Universiti Kebangsaan Malaysia (135); Universiti Putra Malaysia (145); Universiti Teknologi Petronas (233); Universiti Teknologi MARA (UiTM) (280) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) (371).

"Kerajaan buat apa sahaja yang terbaik, tetapi pihak pembangkang sentiasa memperlekehkan usaha kita," katanya selepas penyerahan rumah komuniti di Kampung Tok Has dekat sini, hari ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pemimpin pembangkang sebenarnya terpaksa mencipta isu walaupun perkara yang diperkatakan tidak tepat supaya rakyat hilang kepercayaan kepada usaha dilakukan kerajaan untuk kebaikan negara.

Mengenai pembinaan rumah komuniti kepada penduduk daerah Besut, beliau berkata dalam tempoh dua tahun mulai 2016 pihaknya membina 200 rumah yang diagihkan percuma kepada golongan miskin di daerah itu.

390 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »