Isnin, 8 Januari 2018 | 2:18pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan (empat kanan) bergambar bersama rakan penaja ketika Program Perintis 'Ace It Easy" di 10 Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Selangor. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sekolah baharu di Meru

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang merancang membina satu lagi sekolah menengah di sekitar kawasan Meru, di Klang, Selangor, berikutan kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pihaknya maklum mengenai kepadatan pelajar di sekolah berkenaan yang mempunyai kira-kira 4,000 pelajar ketika ini.

"Saya pernah membuat lawatan ke sekolah berkenaan dan saya maklum dengan jumlah pelajar di sekolah berkenaan yang terlalu besar malah, memang diluar jangkaan.

"Bagaimanapun, kementerian kini dalam perancangan untuk mencari satu lokasi sesuai bagi membina sebuah lagi sekolah baharu di kawasan lain untuk membantu mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah itu," katanya pada sidang media Majlis Pengenalan dan Pra Pelancaran Program 'Ace It Easy' di sini, hari ini.

Baru-baru ini, satu portal pendidikan melaporkan SMK Meru Klang dikategorikan sebagai sekolah paling padat kerana mempunyai jumlah pelajar paling ramai di negara ini.

Berdasarkan portal itu, pada tahun lalu, sekolah berkenaan mempunyai kira-kira 4,600 pelajar bermula tingkatan satu hingga lima termasuk kelas peralihan dan program pendidikan khas.

Sekolah berkenaan juga terpaksa melaksanakan dua sesi pembelajaran berikutan hanya mempunyai 270 warga pendidik selain jumlah pelajar yang terlalu ramai.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, kementerian menyasarkan peningkatan enrolmen pelajar ke sekolah sebanyak 100 peratus selaras dengan matlamat semua rakyat mendapat peluang pendidikan.

"Enrolmen pelajar ketika ini sudah mencapai kira-kira 96 peratus tetapi kita mahu jumlah ini terus meningkat dengan menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada masyarakat.

"Walaupun kementerian berhadapan cabaran tertentu namun, kita akan sedaya-upaya membantu menyediakan akses pendidikan kepada setiap warga Malaysia," katanya.

Terdahulu, beliau turut memperkenalkan program Ace It Easy yang dianjurkan Ascendance Sdn Bhd sebagai salah satu aktiviti bimbingan rakan sebaya membabitkan pelajar kurang cemerlang.

"Sebanyak 10 sekolah sekitar Lembah Klang terpilih untuk menyertai program ini yang berlangsung bermula bulan ini sehingga April depan," katanya.

963 dibaca
Berita Harian X