Selasa, 9 Januari 2018 | 2:19pm
MOHD Haliza Mohd Adnan bergambar bersama tenaga kerja uthm yg bertungkus lumus menjayakan pembangunan sistem kelas pintar (smart classroom). - Foto ihsan UTHM

UTHM laksana Kelas Pintar dalam P&P

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, melaksanakan Pembangunan Sistem Kelas Pintar (Smart Classroom) bagi menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti berkenaan.

Pembangunan sistem itu berjaya menarik minat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pendidikan melihat sendiri demonstrasi sistem berkenaan yang diadakan semalam.

Sistem Kelas Pintar UTHM dilengkapi dengan set Televisyen Interaktif berteknologi 4K bagi kemudahan pengajaran, selain menyediakan kemudahan interaktif di antara bilik darjah mahupun dari pelbagai lokasi pilihan menggunakan aplikasi sidang video.

Ia terhasil berikutan kerjasama strategik yang terjalin di antara UTHM, Syarikat BenQ dan Projector Doctor yang berjaya membangunkan kelas pintar dengan Sistem Pengurusan Bilik Darjah yang mesra pengguna bertujuan menghasilkan kepelbagaian aktiviti dalam bilik darjah sama ada secara kolaboratif mahupun secara individu.

Timbalan Pengarah BTP, Mohd Haliza Mohd Adnan, berkata sistem yang dibangunkan UTHM berupaya menjadi model contoh terbaik untuk diadaptasi dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), di peringkat menengah serta rendah di negara ini.

Katanya, pelaksanaan kelas pintar tidak hanya bergantung kepada kecanggihan peralatan teknologi semata-mata, malah turut melihat kepada persembahan susun atur dan pelaksanaan pembelajaran yang lebih fleksibel.

"Kementerian Pendidikan amat tertarik dengan inisiatif dibangunkan UTHM dengan kerjasama kepakaran industri ini.

"Kita sedang mengkaji dan melihat kemungkinan untuk memperkenalkannya di sekolah menengah dan rendah seluruh negara, " katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly, berkata Pembelajaran Teradun menjadi fokus utama Pusat Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global UTHM.

Ia juga menjadi kaedah terkini pelaksanaan P&P secara dalam talian sepenuhnya di antara pensyarah dengan pelajar diadakan tanpa bersemuka atau berada di dalam bilik kuliah.

Wahid berkata, Pusat Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global adalah satu daripada entiti terpenting dalam menyokong proses P&P bukan sahaja secara pintar malah secara menyeluruh di UTHM.

Katanya, kepakaran di Pusat Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global UTHM itu juga berjaya mendapat pengiktirafan daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) yang lain.

"UTHM diberi kepercayaan membangunkan sistem pendaftaran peserta secara Augmented Reality bagi Persidangan Pembelajaran Abad ke-21 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pada April lalu selain Kolokium STEM Zon Selatan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan, November lalu.

"Pusat ini juga dipertanggungjawabkan untuk membangunkan kursus di bawah inisiatif 'Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran' atau Massive Online Open Courseware (MOOC).

"Sehingga kini, 25 kursus MOOC sudah dibangunkan secara usaha sama membabitkan kesemua fakulti dan pusat pengajian di UTHM," katanya.

Beliau berkata, proses P&P di UTHM juga dibantu dengan kewujudan UTHMRadio yang mula beroperasi secara dalam talian, pada 2014.

Ini bagi membolehkan bahan pembelajaran berformatkan audio disampaikan secara santai di samping menyelitkan elemen hiburan kepada pelajar.

575 dibaca
Berita Harian X