Khamis, 8 Februari 2018 | 10:50am
KAUNSELOR Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, Bradley Hurst (kiri) bersama Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE), Marra Clay (dua dari kiri), Meera Doshi (tengah), Sarah Stanford (dua dari kanan) dan Meaghan Waff. - Foto Khairunisah Lokman

Antara 'coconut shake' dan malu belajar bahasa Inggeris

MELAKA: Kesedapan minuman 'coconut shake' yang terkenal dalam kalangan pelancong dan rakyat tempatan turut menjadi kegemaran empat Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) yang ditempatkan di empat sekolah menengah di Alor Gajah dan Jasin sehingga Oktober depan.

Ini menunjukkan mereka tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan makanan walaupun baru seminggu berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris kepada pelajar Tingkatan Satu di sekitar Melaka.

Namun, bagi Sarah Stanford, 23; Meaghan Waff, 22; Meera Doshi, 23; dan Marra Clay, 22, mengakui sikap pemalu dalam kalangan rakyat negara ini, khususnya pelajar sekolah masih lagi menebal, terutama ketika cuba diajak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Stanford yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah, berkata dia agak pelik kerana pelajar sering meminta maaf hanya kesilapan bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Bagi saya, tiada sebab untuk rasa bersalah hanya kerana kesilapan dalam penggunaan ayat serta pertuturan. Kesilapan adalah salah satu fasa pembelajaran yang berguna," katanya yang berasal dari Buffalo, New York.

Sementara itu, Waff, yang mengajar di SMK Datuk Dol Said, Alor Gajah berkata, tempoh 10 bulan ini akan dimanfaatkan untuk membantu pelajar memperoleh keyakinan diri khususnya dalam berkomunikasi.

"Saya perhatikan mereka (pelajar) cukup rancak berbual dalam bahasa Melayu. Tetapi, apabila diminta berbahasa Inggeris, mereka agak malu," katanya yang cukup teruja menikmati kepelbagaian menu tempatan.

Doshi pula yang ditempatkan di SMK Datuk Bendahara, Jasin, berkata kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan akan mengikut silibus pendidikan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan bagi memudahkan pelajar menguasai bahasa Inggeris.

"Pelajar memang teruja dapat bertemu dengan guru dari luar negara. Walaupun menyapa dalam bahasa yang ringkas, keikhlasan mereka itu sangat dihargai," kata lepasan Universiti Arizona dalam jurusan Kejuruteraan Biomedikal ini.

Bagi Clay, dia cukup gembira dapat melalui pengalaman baharu khususnya dalam kepelbagaian budaya, makanan serta bahasa di negara ini.

"Tempoh seminggu ini, saya memang cukup terkenal dan kelibat saya disenangi pelajar, malah jiran juga melayan sangat baik untuk memberi pelbagai buah tangan," katanya yang mengajar di SMK Datuk Abdul Rahman Ya'kub, Jasin.

Sementara itu, Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, Bradley Hurst, berkata empat pembantu pengajar bahasa Inggeris itu adalah antara 100 ETA MACEE yang dihantar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar di sekolah menengah terpilih di sembilan negeri sehingga Oktober ini.

Katanya, program tahunan anjuran MACEE dan Kementerian Pendidikan yang turut mendapat kerjasama Kedutaan AS itu menyasarkan untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa serta membantu pelajar menguasai kemahiran berkomunikasi.

"Tahun ini, Melaka buat julung kalinya terpilih menjadi sebahagian sembilan negeri bagi menjayakan program ETA yang dimulakan sejak 2005.

"Kedutaan AS sentiasa mengalu-alukan program ini yang memberi manfaat kepada hubungan AS-Malaysia khususnya dalam bidang komunikasi serta mahu memanfatkan kepelbagaian budaya," katanya.

1558 dibaca
Berita Harian X