Selasa, 10 April 2018 | 3:17pm
PELAJAR di Institut Kemahiran Tinggi PERDA, Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Graduan TVET pilihan industri

PUTRAJAYA: Tahap kebolehpasaran graduan di empat gabungan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), meningkat tahun lalu dengan 94 peratus mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata tahap kebolehpasaran graduan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) meningkat daripada 83 peratus pada 2016 kepada 94 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, ia membuktikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian.

Justeru, katanya, graduan dan ibu bapa perlu melihat bidang TVET sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk kerjaya masa depan anak mereka.

"Kalau kita lihat penerimaan masyarakat dalam bidang TVET di negara maju dan negara jiran, ia mendapat sambutan yang amat baik sebagai satu bidang kerjaya pilihan.

"Menurut kajian pada 2016, sebanyak 59 peratus pelajar di Jerman melanjutkan pengajian mereka dalam program berasaskan TVET, Belanda (68 peratus); Australia (62 peratus); Indonesia (51 peratus) dan Thailand (41 peratus).

"Di Malaysia, setakat ini, hanya 28 peratus saja pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET. Ini kerana masih ramai yang beranggapan bidang ini hanya untuk pelajar lemah dalam pencapaian akademik dan tidak mempunyai masa depan cerah.

"Hakikatnya, lepasan TVET ini mendapat sambutan baik daripada industri, selain ia juga amat sesuai untuk mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan, terutamanya usahawan teknikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Perdana Institut Pendidikan MARA (KKTM, KPM, MJII dan IKM) 2018, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 9,230 graduan menerima sijil dan diploma dalam pelbagai bidang pengkhususan masing-masing, selain 109 turut diraikan sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang, Keusahawanan Cemerlang dan Anugerah Khas Industri.

Selain itu, beliau berkata, berikutan kejayaan dihasilkan MARA dalam pemerkasaan modal insan Bumiputera, kerajaan terus memberi kepercayaan kepada MARA dengan memperuntukkan RM5.2 bilion bagi belanja pembangunan dan mengurus tahun ini.

Katanya, dalam meningkatkan peluang pendidikan kepada Bumiputera, kerajaan meluluskan pembinaan lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu iaitu di Bera, Pahang; Bagan Datuk, Perak; Ketereh dan Tanah Merah, Kelantan serta Sik, Kedah.

Selain itu, katanya, sebuah KKTM dibina di Selama Perak, sebuah KPM di Bachok, Kelantan serta KPTM di Ipoh, Perak dan Semporna, Sabah.

"Dengan terbina institusi ini, ia dapat menawarkan seramai 9,000 pelajar lagi untuk mendapatkan pendidikan dan latihan di institusi MARA," katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Graduan Terbaik Diploma Sesi Januari-Jun 2017, Muhammad Zaim Zainol, 22, berkata pengurusan masa yang baik selain mementingkan kualiti dalam setiap perkara dilakukan menjadi resepi kejayaannya.

"Buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa hargai masa serta tidak lupa berdoa jika mahu berjaya," katanya.

Beliau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), 3.89 bagi kursus Higher National Diploma (HND) dalam Kejuruteraan Elektronik di KKTM, Petaling Jaya.

1057 dibaca
Berita Harian X