Rabu, 11 April 2018 | 5:48pm
PRESIDEN Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak.

Mantapkan jati diri, kepemimpinan hadapi TN50

KUALA LUMPUR: Kompetensi pentadbir sekolah yang cemerlang perlu berteraskan jati diri terbaik, sifat kepemimpinan tinggi dan komunikasi berkesan, sekali gus mampu merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta Revolusi Industri 4.0.

Presiden Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, berkata setiap pengetua perlu memiliki pengetahuan menyeluruh berhubung isu semasa dan terkini, di samping mampu memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dengan berkesan.

Beliau berkata, lebih penting peneraju utama sekolah itu juga mestilah cekap mengurus tadbir dan mampu menyelesaikan setiap permasalahan secara berhemah, seterusnya mengangkat kredibilitinya sebagai pemimpin disegani.

"Bagi memastikan bidang pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara maju dan kompetetif lain, pengetua perlulah terus bergerak ke hadapan menjadi pemimpin yang dapat mentransformasikan modal insan terutama bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0.

"Sebagai ketua, mereka (pengetua) perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan luas merangkumi pelbagai bidang dan berupaya menjadi idola serta contoh terbaik kepada setiap warga sekolah," katanya.

Dr Mohamad bercakap kepada media selepas menyampaikan ceramah bertajuk Transformasi Pemikiran Pendidikan pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57, anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), di sini.

Beliau berkata pengetua juga sudah didedahkan dengan aspek pengurusan dan kepemimpinan khususnya menerusi program berimpak tinggi seperti Program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) anjuran Kementerian Pendidikan sebelum ini.

"Bagi saya, kita sudah mempunyai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang cukup kuat ketika ini dan harapan saya agar pengetua dapat mempraktikkan ilmu yang dimiliki ke arah meningkatkan lagi kecemerlangan sekolah mereka pada masa hadapan," katanya.

485 dibaca
Berita Harian X