Sabtu, 6 Oktober 2018 | 7:06pm
PELAJAR Universiti Utara Malaysia (UUM), pegawai polis, pengetua dan pelajar Madrasah Jami’ul Khairi serta penduduk Kampung Betong ketika menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Betong, Thailand, baru-baru ini.

Pelajar UUM tabur bakti di Betong, Thailand

BETONG: Pelajar Program Jarak Jauh (PJJ) Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) dari Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Madrasah Jami’ul Khairi, Betong, Thailand, baru-baru ini.

Pengarah program, Muhammad Fauzun Azim Ghazali berkata, seramai 26 orang pelajar yang menggelarkan diri mereka Sawadee menjayakan program tiga itu dari 14 hingga 16 September lalu dengan tema Pautan Kasih Melestarikan Ukhwah bertujuan mendekati masyarakat Islam di Betong.

“Beberapa aktiviti diadakan antaranya, membersihkan kawasan sekitar pusat madrasah dan kawasan kampung setempat, mengecat pusat madrasah, membersihkan surau dan gotong royong.

“Tidak ketinggalan aktiviti memasak, sukan bersama pelajar-pelajar madrasah dan orang kampung, serta memberi sumbangan kepada pusat madrasah.


PELAJAR Madrasah Jami’ul Khairi menyertai aktiviti riadah ketika program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijayakan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di Betong, Thailand, baru-baru ini.

“Program ini adalah projek tahun kedua bagi memenuhi keperluan kursus kod VKMB 2041 iaitu Pembangunan Masyarakat IV,” katanya.

Program CSR itu dirasmikan oleh penyelaras program, Zulhairi Zakariahdari. Turut hadir ialah wakil Kedutaan Thailand, pengetua madrasah, ketua kampung, wakil pegawai tentera, wakil pegawai polis daerah dan penduduk Kampung Betong, Thailand.

Muhammad Fauzun Azim berkata, pelajar turut bekerjasama dengan badan organisasi kebajikan iaitu Yayasan Salam untuk mengutip dana bagi menjayakan program CSR berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama yang diberikan oleh pelajar madrasah dan penduduk kampung dalam menjayakan program berkenaan amat menggalakkan.

169 dibaca
Berita Harian X