Selasa, 9 Oktober 2018 | 5:38pm
Tengku Abdullah mengunjungi ruang pameran selepas merasmikan Wacana Diraja Raja Perlembagaan dan Patriotisme di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. - NSTP/Nazirul Roselan

Perkasakan pendidikan kenegaraan

LIPIS: Sistem pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu ditambah baik dengan memberikan tumpuan kepada aspek cintakan negara.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah kebanyakan generasi muda hari ini tidak mendapat maklumat tepat mengenai sejarah institusi beraja dan juga menanamkan sikap sayangkan negara dalam kalangan mereka.

“Sudah sampai masanya (sistem) pendidikan kenegaraan diperkenalkan dan dimantapkan pada peringkat sekolah dan juga IPT dalam usaha membentuk semangat patriotisme.

“Selain itu, perlu juga diberikan pendedahan (dengan lebih terbuka) mengenai peranan dan fungsi sebenar serta kepentingan institusi Beraja di negara ini,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan kerajaan Pahang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Wacana siri kedua itu adalah kesinambungan siri pertama yang diadakan di Kuantan, Februari lalu.

Seramai lapan ahli panel menyertai forum terbabit antaranya pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Aziz; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Ketua Penerangan Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Sefura Othman.

Tengku Abdullah turut mengingatkan semua pihak tidak menjadikan program wacana itu sebagai medan atau pentas berpolitik kerana pendirian baginda adalah jelas bahawa tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti.

“Janganlah pula (wacana) menjadi pentas untuk menyalahkan atau meminggirkan pihak mana yang berkuasa dan yang mana pula tidak berkuasa.

“Jadikan program ini sebagai medan kita berkongsi pendapat, bertukar-tukar pandangan dan idea. Ini kerana tujuan utama penganjuran adalah untuk berbincang mengenai perkara berkaitan (institusi) raja dan perlembagaan serta semangat patriotisme,” titahnya.

Baginda bertitah, Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara, kewujudan institusi Beraja yang juga asas jati diri bangsa serta menjadi identiti negara.

Titahnya, hari ini anak muda membesar dengan kecanggihan teknologi dan kepesatan arus pemodenan menjadikan mereka lalai dengan fahaman yang boleh memesongkan agama dan identiti negara.

144 dibaca
Berita Harian X