Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:51pm

Malaysia tuan rumah ISESCO ke-14

PUTRAJAYA: Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) ke-14 yang akan berlangsung pada 2021.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Malaysia diputuskan pada Persidangan Umum ISESCO ke-13, kelmarin dan diumumkan sebulat suara suara oleh Ketua Pengarah ISESCO, Dr Abdulaziz Othman Altwaijri.

“Persidangan Umum ke-13 berlangsung di Rabat, Maghribi akan berakhir hari ini (semalam) dan ia berlangsung setiap tiga tahun sekali.

“ISESCO yang beribu pejabat di Rabat ditubuhkan pada Mei 1979. Dengan 52 negara anggota, ISESCO kini adalah pertubuhan negara Islam terbesar yang menumpukan dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang kini menghadiri persidangan berkenaan mengucapkan penghargaan atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah sesi ke-14.

Pada masa sama, beliau dipetik berkata, Malaysia komited untuk menganjurkan persidangan umum akan datang dengan berkesan bagi menjayakan matlamat penubuhan ISESCO.

Maszlee mengetengahkan lima perkara utama ketika berucap pada sidang pleno Persidangan Umum ISESCO ke-13 iaitu mengulangi sokongan padu berterusan kerajaan Malaysia bagi Palestin dan perjuangan rakyatnya.

“Seterusnya, menegaskan semua pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 bulan lalu mengenai keperluan melihat punca asas konflik melanda dunia hari ini dan PBB mencapai matlamat murni mengakhiri peperangan antara negara.

“Menekankan keperluan pendidikan yang berkualiti dan keperluan menyediakan golongan belia dengan pengetahuan dan ilmu yang diperlukan bagi mendepani cabaran masa depan,” katanya.

Dua lagi perkara yang turut diketengahkan ialah menggesa negara anggota ISESCO berganding bagi melaksanakan pembangunan mampan dan bekerjasama dalam program dan kegiatan penyelidikan.

Selain itu, Maszlee mempelawa negara anggota ISESCO untuk menghantar pelajar mereka bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Persidangan Umum ISESCO sesi ke-14 itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

107 dibaca
Berita Harian X