Khamis, 20 Julai 2017 | 7:09pm
ISMAIL Sabri (kiri) melihat pelan tapak pembinaan 43 Unit Rumah Mampu Bina yang akan dibina di Ketengah Jaya. - Foto Rosli Ilham

Dr M tidak rela orang lain setaraf: Ismail Sabri

DUNGUN: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak boleh menerima hakikat bahawa pemimpin lain berkedudukan lebih tinggi atau setaraf dengannya. 

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata Dr Mahathir tidak senang hati jika ada pemimpin yang duduk sama taraf atau lebih daripadanya. 

Katanya, Dr Mahathir tetap menganggap beliau yang terbaik berbanding dengan Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin lain. 

"Dia kini merasai berada sama taraf dengan Perdana Menteri sedangkan Najib adalah Perdana Menteri manakala beliau (Mahathir) bukan lagi perdana menteri. 

"Dia mahu semua orang ikut cakap dia. Dia tak boleh rendah daripada orang lain, pasal itu dia tidak boleh terima Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). 

"Sekarang ini pula, dia minta Datuk Seri Najib berundur," katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Rakyat dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di KETENGAH Jaya, hari ini. 

Beliau diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir yang menganggap kedudukannya dalam pakatan pembangkang adalah sama taraf dengan Najib dalam Barisan Nasional (BN). 

Ismail Sabri berkata, Dr Mahathir sama saja dengan pemimpin parti politik seperti Mohamad Sabu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Najib adalah Perdana Menteri yang mentadbir negara dan dalam kerajaan, kedudukannya tidak setaraf dengan Mahathir. 

"Najib adalah ketua kerajaan dan berilah peluang kepada Najib menjalankan tugasnya sebagai pemimpin negara," katanya.

928 dibaca
Berita Harian X