Sabtu, 12 Ogos 2017 | 8:24pm
NOH bersalaman dengan ahli UMNO Bahagian Bakri pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di Dewan MRSM Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Bahagian yang kalah jangan lemah semangat

MUAR: UMNO Bahagian Bakri diingat supaya tidak lemah semangat, sebaliknya terus bekerja dengan keras bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong dan Parlimen Bakri kembali semula kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar, berkata semua ahli UMNO juga perlu memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon kerana apa yang penting adalah kuasa.

"Jangan lemah semangat tetapi kita kena kerja sebagai satu pasukan. Kita tidak kiralah siapa yang menjadi calon (pada PRU kelak). Sebab itulah kerja keras ini sangat penting dan kena sentiasa bersatu.

"Apa gunanya kita hendak jadi calon kalau kita ada perpecahan dan akhirnya kita hilang kuasa. Sebab itulah kita kena ingat yang paling penting sekali adalah kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Hassan Johari.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jawatan juga tidak mencerminkan kuasa dan sebab itulah DAP tidak melihat jawatan dalam pakatan baharu pembangkang.

"DAP ni cerdik. Dalam pakatan pembangkang, DAP mana ada orang. Pemimpin pakatan pembangkang Melayu dengan Tun Mahathir, Melayu... Anwar Ibrahim, Melayu... Wan Azizahnya.

"Ini kerana jawatan tak penting kerana yang penting sekali adalah kuasa. Apa gunanya ada jawatan tetapi hanya jadi kuda tunggangan," katanya.

Noh berkata, pihaknya percaya Barisan Nasional (BN) mampu untuk merampas kembali DUN Sungai Abong dan Parlimen Bakri, selain mengekalkan DUN Bukit Naning selagi wujud roh perjuangan dan sentiasa bersatu dalam kalangan ahli parti.

194 dibaca
Berita Harian X