Ahad, 13 Ogos 2017 | 1:14pm

Falsafah Muhamad Ali teras kekuatan BN - Zambry

LUMUT: UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus mempertahankan kekuatannya supaya terus berkuasa dan bersatu walaupun diserang teruk pembangkang.

Pada masa sama, parti itu perlu mampu menyerang lawan dengan kekuatan padu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia selaras dengan falsafah oleh lagenda tinju dunia, Muhamad Ali yang menyatakan kekuatannya 'float like butterfly, sting like bee' (terapung seperti rama-rama, menyengat seperti lebah).


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (tengah) dan Menteri Besar Perak merangkap Ketua Umno Bahagian Lumut,Datuk Zambry Abd Kadir (kiri) ketika hadir di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, di Hotel Orient Star. - Foto NSTP/ L. Manimaran

"Walaupun ada kalanya kita (BN dan UMNO) kena 'tembak' (oleh pembangkang), hadapi masalah, tapi kita masih terus mampu 'terapung'.

"Sebab itu puak-puak (pembangkang) ini sakit hati, (BN) tidak pecah-pecah juga walaupun dicuba dengan pelbagai cara," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut yang disempurnakan oleh Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di sini hari ini.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak dan Ketua UMNO Bahagian Lumut berkata, pembangkang berharap dan menyangka UMNO akan rebah apabila ada individu tertentu keluar dari parti itu sebaliknya mereka terus teguh dan kukuh.

"Mereka yang lari daripada perjuangan (UMNO), mereka tidak akan pergi ke mana, kita tengoklah nanti, kita doakan sahaja mereka," katanya.

dibaca
Berita Harian X