Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:09pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepang di Dewan Serbaguna UniKL Miat. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PRU-14 penentu survival orang Melayu

SEPANG: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menentukan survival orang Melayu di negara ini sama ada terus terbela atau bakal merempat di bumi sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ahli UMNO tidak boleh leka dan perlu membantu parti komponen lain bagi memastikan tampuk pemerintahan negara kekal di tangan Barisan Nasional (BN).

Katanya, tiada parti lain mampu memperjuangkan bangsa Melayu dan Bumiputera kecuali UMNO dan buktinya jelas menerusi pencapaian membela nasib Melayu sejak 71 tahun lalu.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing, Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sepang, NoorAzli Mohd Said bergambar bersama perwakilan selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepang di Dewan Serbaguna UniKL Miat. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

"Kita tahu pembangkang bercita-cita besar untuk merampas tampuk pemerintahan dan antara yang paling ketara adalah menggunakan dan memperalatkan orang Melayu yang juga bekas pemimpin negara untuk merealisasikan agenda, terutama menghancurkan UMNO.

"Jika UMNO dipecah-belahkan, ibaratnya perjuangan memartabatkan Melayu dan Islam turut dihancurkan," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang, di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di sini, hari ini.

Pada sidang media selepas itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ahli UMNO berperanan besar dalam memerangi dan mematikan fitnah serta tohmahan pembangkang kepada BN bagi mengelirukan rakyat.

"Fitnah yang dilempar pembangkang perlu ada penjelasan rapi dan mudah difahami mengikut fakta supaya

rakyat tidak dikelirukan," katanya.

342 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »