Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:20pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan sekali) menyempurnakan gimik ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda & Puteri UMNO Bahagian Arau di Dewan Kecemerlangan 2 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sambil diiringgi Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Pertahan kerajaan demi keamanan

ARAU: Rakyat negara ini diingatkan supaya tidak memperjudikan keamanan dan keselamatan negara dengan mempertaruhkan kerajaan sedia ada pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata rakyat perlu menyedari pertukaran kerajaan boleh menyebabkan berlakunya pergolakan.

Katanya, orang ramai perlu menyedari hakikat apa yang dikecapi kini adalah hasil kerja keras kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat terus terjamin.

"Tidak perlu pergi jauh. Lihat saja di utara kita. Apabila berada di Thailand, perasaan bimbang dan tidak selamat melanda ketika berada di Narathiwat, namun apabila masuk saja ke Perlis dan Kedah terus rasa selamat.

"Begitu juga di barat kita, iaitu di Aceh dan selatan di Irian Jaya dan Timur Timor yang mana ratusan ribu rakyat mati kerana masalah puak pemisah serta di timur iaitu Filipina mengalami masalah sama," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Dewan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Abdul Rahman berkata, semua negara terbabit sama seperti Malaysia yang mempunyai sistem berparlimen dan mempunyai Presiden atau Perdana Menteri.

"Kenapa Malaysia mampu kekalkan keamanan ssedangkan negara sekitar tidak? Proses memilih kerajaan belum tentu menjamin keamanan seperti di negara jiran.

"Kita hanya akan menghargai keamanan apabila ia sudah hilang. Jika ada yang kata tukar kerajaan akan kekal aman, itu bohong," katanya.

226 dibaca
Berita Harian X