Isnin, 14 Ogos 2017 | 5:24pm
MAHDZIR Khalid

Penganjur perlu bertanggungjawab

PUTRAJAYA: Penganjur forum 'Nothing to Hide 2.0' perlu bertanggungjawab dan tidak menyalahkan pihak lain termasuk Barisan Nasional (BN) terhadap kekecohan yang berlaku ketika program terbabit.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak penganjur juga tidak sepatutnya menuduh perkara terbabit sengaja diadakan oleh BN untuk mengaburi pandangan umum berhubung insiden itu.

Beliau menegaskan, forum seumpama itu sepatutnya tidak perlu diadakan, namun atas kehendak Tun Dr Mahathir Mohamad, program itu diteruskan dan penganjur perlu bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku.

"Insiden ini mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati pihak yang bertanya soalan berkaitan peristiwa Memali pada 1985 kerana mungkin membabitkan ahli keluarga hadirin berikutan ramai mangsa yang terkorban dalam kejadian itu," katanya kepada media, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir menghadiri Pertandingan Koir Antara Bahagian Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Kementerian Pendidikan dan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan (MESCA).

Sebanyak sembilan kumpulan membabitkan bahagian dalam Kementerian Pendidikan menyertai pertandingan koir berunsurkan patriotik itu dan lima daripadanya dipilih ke pertandingan akhir.

Bahagian Ko Kurikulum dan Kesenian yang dinobatkan juara pertandingan menerima hadiah wang tunai RM1,000 bersama pingat; naib juara dimenangi Bahagian Sumber Manusia (RM700 dan pigat) manakala Bahagian Pembangunan Pelajar di tempat ketiga menerima RM500.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata beliau sedih dengan insiden itu kerana pihak penganjur tidak mementingkan keselamatan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN berkata polis sudah memberitahu bahawa program seumpamanya akan mengundang risiko tinggi dan penganjur gagal menyediakan tahap keselamatan dan sepatutnya mereka menambah tenaga keselamatan.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga tidak boleh menuding jari menyalahkan BN berkenaan isu itu dan biar polis menjalankan siasatan.

"Kita (BN) juga boleh menuding jari kepada mereka yang mengadakan provokasi ini bagi memburukkan nama BN," katanya.

Forum 'Nothing to Hide 2.0' semalam di Kompleks Belia dan Kebudayaan Seksyen 7, Shah Alam, bertukar ganas apabila sekumpulan hadirin tidak puas hati dengan penjelasan Dr Mahathir mengenai peristiwa Memali pada 1985.

Suasana forum mula tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin, yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri itu adalah benar atau hanya bermotifkan politik.

434 dibaca
Berita Harian X