Isnin, 14 Ogos 2017 | 8:30pm
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

"Nothing To Hide 2.0" jadi "Everything To Hide"

KUALA LUMPUR: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengaitkan UMNO dalam kekecohan Forum 'Nothing To Hide 2.0' semalam adalah cubaan bagi menutup tindakan memalukan ahli parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata PPBM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap majlis anjurannya yang dihadiri kepimpinan dan penyokong parti itu.

Beliau berkata, tuduhan liar mengaitkan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam insiden kekecohan itu oleh Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan juga kepimpinan pakatan pembangkang adalah palsu, melulu dan tidak sepatutnya dibuat.

"Ia adalah cubaan jelas untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan PPBM dan satu lagi contoh tindakan pakatan pembangkang untuk membangkitkan rasa marah dan benci terhadap kerajaan.

"Jika pakatan pembangkang tidak berupaya untuk menganjurkan forum tanpa wujudnya kekecohan maka kita boleh bayangkan apa yang akan mereka lakukan terhadap Malaysia.

"Jelas ia akan membawa bencana kepada negara jika pembangkang diketuai DAP memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Forum Nothing Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Seksyen 7, Shah Alam, bertukar ganas apabila sekumpulan hadirin tidak puas hati dengan penjelasan Dr Mahathir mengenai peristiwa Memali pada 1985.

Suasana forum mula tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin, yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri itu adalah benar atau hanya bermotifkan politik.

Tengku Sariffuddin berkata realitinya, penyokong pembangkang yang hadir di forum itu kecewa dengan kegagalan Dr Mahathir menjawab soalan berhubung skandal sepanjang 22 tahun pentadbirannya termasuk isu pemenjaraan Anwar dan peristiwa Memali.

Beliau berkata, berdasarkan insiden semalam, forum 'Nothing To Hide 2.0' sepatutnya menjadi forum 'Everything To Hide'.

1577 dibaca
Berita Harian X