Ahad, 27 Ogos 2017 | 3:49pm
DATUK Seri Mah Siew Keong (barisan hadapan, tida dari kanan) selepas merasmikan Persidangan Gerakan Negeri Johor.- FotoNSTP

Gerakan bertanding di 12 kerusi Parlimen

KULAI: Parti Gerakan sudah menghantar senarai nama calon bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata ia membabitkan calonnya di 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, senarai nama calon yang dikemukakan itu berdasarkan kerusi yang ditandingi mereka pada PRU yang lalu.

Beliau berkata, senarai itu sudah ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum diserahkan kepada BN.

"Keputusan tertakluk kepada pimpinan teratas BN. Setiap kerusi itu, kita hantar beberapa nama," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Persidangan Gerakan Negeri Johor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Teo Kok Chee.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, Gerakan Johor sudah mempersiap jentera parti dan akan membantu parti komponen BN bagi meraih kemenangan dalam PRU-14.

Gerakan, katanya, yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam kerana Datuk Liang Teck Meng bekerja bersunguh-sungguh di kawasan itu dan menawan DUN Pemanis.

"Kali ini kita juga yakin untuk memenangi semula kerusi DUN Bukit Batu selain bersedia bertanding di DUN Skudai walaupun ia kubu kuat DAP.

"Perbincangan dengan MCA dan BN memberi peluang untuk kita bertanding di DUN Skudai semula kerana dalam PRU lalu kerusi itu ditandingi oleh calon MCA," katanya.

1670 dibaca
Berita Harian X