Sabtu, 9 September 2017 | 2:52pm
KETUA Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang. - Foto Yazit Razali

DAP mula dominasi, elak eksperimen undi pakatan pembangkang

ALOR SETAR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, diyakini mula menunjukkan taring sebenarnya menerusi bukti dominasi parti itu ke atas pakatan pembangkang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda PAS Kedah, Salim Mahmood, berdasarkan beberapa bukti bersifat terma 'perintah atau arahan' yang dikeluarkan Kit Siang terhadap rakan pembangkangnya, khususnya di Kedah.

Justeru, beliau berkata, rakyat khususnya pengundi harus berwaspada supaya tidak terpedaya untuk bereksperimen dengan memberi undi kepada parti yang bernaung di bawah pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kit Siang sudah menunjukkan taring sebenarnya apabila menggesa supaya pakatan pembangkang tidak mensia-siakan potensi di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang menang, tanpa menyebut parti yang dimaksudkannya.

"Beliau (Kit Siang) juga menamakan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang perlu dimenangi, manakala kerusi DUN Gurun serta Kulim pula diberikan kepada DAP.

"Malah, beliau menekankan pakatan pembangkang harus menunjukkan perpaduan lebih kukuh dan mantap...semua kata-kata itu jika dirangkumkan dapat difahami yang ia adalah terma 'perintah atau arahan'," katanya selepas menyertai Himpunan Jentera Pemuda PAS Kedah (H9917) di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Salim berkata, Kit Siang pada masa sama membayangkan antara Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, terdapat parti yang tidak berpeluang bertanding di Kedah.

Selain itu, katanya, fokus terhadap empat DUN iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra yang disebut Kit Siang juga diakui palsu, bertujuan menyimpangkan 'misi mustahil' di semua kerusi terbabit.

"Pada semua strategi diatur itu, beliau (Kit Siang) meletakkan jaminan menambah sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah melebarkan pengaruh di negeri ini.

"Inilah liciknya DAP yang tentunya akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan pakatan pembangkang dipengaruhi mereka.

"Rakyat Kedah perlu hindari diri supaya tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini," katanya.

DAP ketika ini menguasai dua daripada 36 kerusi DUN di Kedah iaitu Derga dan Kota Darulaman, manakala 20 dimiliki BN dan selebihnya milik PAS (8), PKR (4) dan masing-masing satu milik PPBM serta PAN.

1075 dibaca
Berita Harian X