Sabtu, 9 September 2017 | 3:29pm
KETUA Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Kedah, Salim Mahmood (kanan) serta Setiausaha Pemuda PAS Kedah,Mohd Aizat Zakaria ketika mengadakan sidang media di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. - Foto Amran Hamid

PAS pertaruh calon muda saing tiga penjuru

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempertaruhkan 45 peratus calon muda, termasuk wanita, bagi bersaing kemungkinan pertandingan tiga penjuru pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14)

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata jumlah calon yang disenaraikan dari dewan itu adalah tertinggi berbanding PRU sebelum ini, selain turut memberi tumpuan kepada empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.

"Fokus empat buah negeri ini keputusan awal parti kerana sasaran kita adalah pengundi Melayu Islam, semua negeri ini mempunyai pengundi Islam yang ramai.

"Bagaimanapun ini tidak bermakna kami mengenepikan negeri lain negeri seperti Perlis, Pahang, Perak yang juga akan turut diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Jentera Pemuda PAS Kedah (H9917), di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Katanya, PAS tidak bergantung kepada kelemahan lawan, sebaliknya mementingkan kekuatan jentera parti untuk berjuang pada PRU-14.

Sementara itu, DPMM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan 'Himpunan Munajat Sejuta Ummah' di Lembah Klang sebagai menunjukkan kebersamaan orang ramai terhadap isu penghapusan etnik Rohingya.

Muhammad Khalil, berkata isu itu bukan sahaja disebabkan membabitkan umat Islam semata-mata, namun juga hak asasi manusia.

710 dibaca
Berita Harian X