Isnin, 11 September 2017 | 11:08pm
TAN Sri Musa Aman (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan bendera Jalur Gemilang daripada Datuk Armizan (dua dari kiri) kepada Datuk Masidi Manjun (kanan) sebelum mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Jangan layan serangan pembangkang - Musa

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO di Sabah diminta tidak melayan tuduhan dan serangan berterusan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya sentiasa turun padang dan berkhidmat kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata di sebalik tohmahan dan serangan pembangkang, beliau percaya rakyat Sabah dapat menilai sama ada tuduhan terbabit benar atau sebaliknya, selain tahu membezakan pemimpin yang bekerja atau cuma pandai berkata-kata.

"Apa yang penting, pemimpin UMNO terus bekerja dengan penuh berdedikasi bersama rakan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kita sudah membawa banyak pembangunan di Sabah sama ada di bandar dan luar bandar.

"Rakyat secara keseluruhan dapat manfaat.. inilah cara kita berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO negeri, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah, turut meminta semua 25 bahagian UMNO, termasuk sayap parti supaya memastikan gerak kerja dan jentera di semua peringkat sentiasa bersiapsiaga untuk berdepan PRU-14.

"Kita mesti memastikan pendaftaran ahli dalam daftar pemilih terus dijalankan," katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua bahagian dan sayap yang menjalankan mesyuarat perwakilan masing-masing dengan lancar, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO Sabah akan menghantar wakil dari setiap bahagian untuk bersama-sama memeriahkan acara kemuncak sambutan Hari Malaysia 2017 di Kompleks Sukan Likas, di sini, Sabtu ini.

"Badan Perhubungan UMNO negeri akan bersama kerajaan negeri dan Pusat untuk memastikan Hari Malaysia pada 16 September ini disambut dengan gemilang.

"Kita bersyukur dan gembira kerana majlis itu nanti akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah RM Jasni," katanya.

Terdahulu, Musa menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang daripada Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia.

Setiap bahagian UMNO di Sabah akan mendapat 600 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.

636 dibaca
Berita Harian X