Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:22pm

Peluang DAP kikis imej cauvinisme

Pemilihan semula CEC: Selepas berdolak-dalik, akhirnya pemimpin DAP akur arahan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah, supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Sebelum ini, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada ROS, seperti arahan ini konspirasi pemerintah untuk musnahkan DAP serta mahu melumpuhkan pentadbiran DAP dan merosakkan persiapan menhdapai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) DAP.

Begitu juga tuduhan ROS tidak bersikap bertanggungjawab dan profesional kerana konon enggan bekerjasama dengan pemimpin DAP yang akhirnya terbukti tidak benar apabila Mohammad Razin bertemu Teresa Kok dan wakil Grant Thornton.

Masalah dengan pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Anthony Loke adalah apabila mereka masih menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan ROS mengenakan pelbagai syarat kepada pemilihan semula ini, sedangkan secara rasmi DAP akur dengan syarat ini.

Dalam surat DAP kepada ROS pada 4 Oktober lalu, disebut DAP berpuas hati bahawa ROS menerima Grant Thornton sebagai Pegawai pengurus pemilihan bagi pemilihan semula CEC DAP dan menerima tanggungjawab yang diarahkan ROS kepada Grant Thornton.

Kena patuh arahan ROS

Sepatutnya pemimpin DAP sejak awal lagi akur arahan ROS dan tidak cuba mempolitikkannya kerana lebih cepat menerima hakikat kesilapan mereka, lebih cepat mereka selesaikan kemelut dan bergerak ke hadapan.

Syarat ROS kepada Grant Thornton, seperti mengenai kepastian terhadap calon CEC dan perwakilan yang sah, pengeluaran notis panggilan dalam akhbar utama dan penyediaan kaedah semakan senarai perwakilan, tidak akan timbul jika DAP mampu berbuat begitu.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod negatif DAP dalam perkara ini hingga menyebabkan berbangkit aduan ahlinya sendiri, sudah tentu langkah ini wajar diambil bagi memastikan pemilihan semula dibuat secara demo-kratik. Apa pun, arahan ROS sebenarnya adalah rahmat tersembunyi untuk Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP kerana Perlembagaan DAP menetapkan Setiausaha Agung DAP tidak boleh memegang jawatan itu bagi satu tempoh melebihi tiga penggal.

Sehingga kini, Guan Eng memegang jawatan Setiausaha Agung DAP tiga penggal, bermula dari sesi 2004-2008, 2008-2012/2013 dan 2012/2013-2018, dia tidak layak lagi mencalonkan diri untuk jawatan itu pada pemilihan baharu.

Bagaimanapun, arahan RoS supaya pemilihan semula ini dilakukan membuka ruang baharu kepada Guan Eng menjawat jawatan ini bagi satu sesi lagi, di samping memberi peluang kepada pemimpin DAP dalam kem lain mencabar beliau.

Pernah disebut beberapa pihak kononnya pemimpin DAP seperti Dr Tan Seng Giaw, Datuk Teng Chang Khim, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham, Chow Kon Yeow dan Dr Boo Cheng Hau antara tokoh yang tidak begitu disenangi Guan Eng.

Soal sama ada apakah Guan Eng kekal berkuasa dalam DAP atau tidak sebenarnya bukan isu penting kerana walau siapa pun Setiausaha Agung DAP pemimpin ini tentu terikat dengan perjuangan sekularisme dan Malaysian Malaysia DAP.

Di sebalik menjejaskan persiapan PRU-14 DAP, pemilihan semula ini kesempatan baik DAP menghakis imej cauvinismenya jika benar mahu jadi parti berbilang kaum dengan melantik lebih ramai pemimpin Melayu dan India ke jawatan itu.

Penolakan calon Melayu

Malangnya, pemilihan CEC DAP pada 2012/2013 menunjukkan ini tidak berlaku kerana di sebalik laungan DAP bahawa kerajaan negerinya juga menjaga kepentingan kaum Melayu, hanya Zairil Khir Johari menang, begitu juga dengan kaum India.

Penolakan calon Melayu berprofil tinggi seperti Dr Ariffin Omar menyerlahkan lagi kesukaran pemimpin Melayu, walaupun berfahaman liberal, mendapat tempat dalam DAP dan ini dijangka terus berlaku pada pemilihan semula.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada Mohammad Razin dan pegawai beliau di ROS atas keprofesionalan beliau mengendali kemelut DAP ini di sebalik kata nista DAP.

Penulis adalah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia

628 dibaca
Berita Harian X