Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:21pm
AHMAD Bashah (empat dari kiri) bersama Mas Ermieyati (lima dari kiri) pada Majlis Perjumpaan Puteri Umno Cawangan Seluruh Negeri Kedah serta Pelancaran Jentera Pilihanraya Raya Umum (PRU) Puteri Umno Negeri Kedah di Institut Kemahiran Mara (IKM). - Foto Nor Farhani Che Ad

Puteri UMNO sudah senaraikan calon PRU

SUNGAI PETANI: Pergerakan Puteri UMNO sudah menyenaraikan calon daripada sayap itu, bagi pertimbangan pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata selain mengekalkan beberapa nama lama, pihaknya turut menyenaraikan muka baharu yang dilihat berpotensi diketengahkan sebagai calon.

Katanya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk meneliti calon yang disenaraikan itu.

"Kita mengharapkan calon baru diangkat serta calon lama dari sayap UMNO itu dikekalkan.

"Tanpa meletakkan peratus bagi senarai calon, saya meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan Seluruh Negeri Kedah serta Pelancaran Jentera PRU Puteri UMNO Negeri Kedah di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, di sini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sementara itu, Ahmad Bashah mengingatkan Pergerakan Puteri UMNO negeri supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran baru dalam PRU akan datang.

Katanya, pengalaman menghadapi PRU selama 13 kali sebelum ini belum mencukupi untuk jentera parti berhadapan rakyat pada PRU ke-14.

"Setiap kali kita nak PRU, kita akan menghadapi suasana dan perubahan baru dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang berbeza walaupun kita baru sahaja menghadapi PRU pada 2013.

"Oleh sebab itu, semua ahli termasuk sayap Umno termasuk puteri harus sentiasa bersedia menyiapkan diri berjumpa dengan rakyat sekali lagi walau dengan apa jua keadaan," katanya.

Katanya, kebangkitan parti sehingga berjaya menawan negeri Kedah pada PRU13 adalah hasil kerja kuat yang dilakukan serta jentera parti yang hebat.

"Jadi pada hari ini kita kena bersedia kerana tugas kita adalah bagi memastikan cita-cita pembangkang untuk menawan Kedah terhalang sehingga waktu PRU nanti.

"Nak halang kita kena bersedia turun ke semua kawasan untuk bertandang rumah ke rumah rakyat akar umbi untuk bertanya khabar dan mendekati mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah meminta ahli puteri untuk terus komited mendekati golongan muda dalam usaha menambah keahlian dan pengundi dengan memastikan kira-kira 3,756 ahli puteri di Kedah yang belum mendaftar didaftar sebagai pengundi.

249 dibaca
Berita Harian X