Ahad, 12 November 2017 | 10:57pm
KETUA Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bergambar bersama orang ramai pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) Plus Pemuda BN Sabah di Kota Kinabalu, malam ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kuasai pemikiran, emosi pengundi untuk menang PRU-14

KOTA KINABALU: Jentera Barisan Nasional (BN) perlu menguasai pemikiran dan emosi pengundi golongan muda termasuk 20 peratus pengundi pertama kali bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata pendekatan terbaik ialah melalui strategi jentera pilihan raya yang terus sampai kepada golongan sasar di peringkat akar umbi, khususnya golongan muda.

"Dianggarkan 20 peratus pengundi yang akan mengundi pada PRU-14 adalah mereka yang pertama kali mengundi. Mereka ibarat kain putih yang belum ada latar belakang politik.

"Mereka inilah yang dapat menentukan kemenangan BN, jadi jentera kita perlu meyakinkan mereka supaya mengundi BN," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) Plus Pemuda BN Sabah yang disempurnakan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang; Pengerusi MIC Sabah, Datuk V Jothi dan Pengerusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata jentera BN khususnya JR Plus Pemuda yang baru diperkenalkan perlu memastikan setiap pengundi mendapat sentuhan terbaik supaya mengundi BN.

"Politik bukan pemilihan yang rasional, ia lebih kepada emosional. Sehubungan itu kita perlu menjadi sahabat pengundi, jaga kebajikan dan bantu mereka supaya dapat menawan hati dan jiwa mereka," katanya.

Sementara itu, Musa berkata kerjasama berpasukan membabitkan semua parti komponen BN sangat penting dalam berdepan pilihan raya, lebih-lebih lagi PRU-14 yang disifatkan sebagai lebih mencabar berbanding pilihan raya sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, selain kerja berpasukan jentera pilihan raya khususnya Pemuda BN perlu ada iltizam atau semangat yang kuat untuk memastikan kemenangan BN.

"Pemuda diberi tanggungjawab ini kerana ia adalah masa depan mereka sejajar dengan kedudukan sebagai generasi yang akan mengambil alih kepemimpinan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Yamani Hafez berkata jentera JR Plus Pemua BN Sabah dianggotai seramai 6,741 petugas dengan setiap mereka diberikan perlindungan insurans sepanjang melaksanakan tugas sebagai jentera parti.

234 dibaca
Berita Harian X