Isnin, 13 November 2017 | 5:50pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Persidangan tumpu persediaan PRU-14

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2017 tidak akan menumpukan pada soal pemilihan parti, sebaliknya memberi tumpuan pada kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata oleh kerana PRU-14 semakin hampir, perwakilan dan ahli perlu menanam semangat untuk memastikan parti mendapat mandat besar pada pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO, berkata sebarang usul yang ada kaitan dengan pemilihan UMNO tidak akan dibahaskan pada perhimpunan kali ini.

"Tiada guna kita bincang kedudukan parti atau pegang jawatan tinggi dalam parti kalau parti kita tidak dapat mandat besar pada pilihan raya.

"Fokus perhimpunan kita kali ini adalah ke arah (hadapi) pilihan raya, bukan pemilihan parti," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dari 5 sehingga 9 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka yang terakhir sebelum PRU-14.

Hishammuddin berkata, pada tahun ini, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian dan daripada jumlah itu, 635 usul diterima untuk rujukan.

Katanya, daripada 635 usul itu, sebanyak 191 usul diterima tanpa bahas dan tiada usul yang ditolak.

Semua 635 usul diterima untuk rujukan itu membabitkan 238 usul politik, usul ekonomi (79), usul agama (40), usul sosial (97), usul pendidikan (114), satu usul menyentuh pindaan Perlembagaan dan 66 lain-lain usul.

176 dibaca
Berita Harian X